suria

Banjir: Kerajaan Filipina Rayu Lebih Ramai Sukarelawan Diperlukan

MANILA: Kerajaan Filipina pada Khamis merayu lebih ramai sukarelawan diperlukan untuk menghantar makanan, air dan barang keperluan lain kepada dua juta penduduknya yang terjejas teruk akibat banjir di sekitar bandaraya itu.

Banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan sebelum ini mulai surut hingga ke paras lutut.

Ketua Jabatan Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, keutamaan sekarang adalah untuk membantu kira-kira 1.95 juta penduduk yang terancam termasuk 300,000 yang mendapat perlindungan di pusat pemindahan sementara.

Katanya, kerajaan tempatan telah menyusun makanan, ubat-ubatan dan beberapa barang keperluan lain sebelum banjir dan kini ia sudah diagihkan ke kawasan yang dilanda bencana alam itu.

Bagaimanapun, Ramos berkata, mereka kekurangan tenaga sukarelawan untuk mengagihkan barang kecemasan itu.

"Situasi amat dinamik. Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk menghantar barang keperluan tersebut," kata pembantu eksekutif kepada Setiausaha Kebajikan Sosial Corazon Soliman.

Ramos turut memberi amaran bahawa banjir buruk akan berlaku lagi dengan jabatan kaji cuaca meramalkan hujan lebat akan berterusan minggu ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain