suria

China Huru-Hara Dilanda Tiga Taufan Dalam Seminggu

SHANGHAI: Ribut taufan yang ketiga melanda China dalam tempoh seminggu benar-benar telah menjejaskan ekonomi serta kehidupan rakyatnya di sebelah pantai timur negara itu.

Taufan Haikui telah melanda awal pagi Rabu di wilayah Zhejiang di selatan Shanghai.

Sebelum ini pihak berkuasa telah pun memindahkan 1.5 juta penduduk ke kawasan selamat, laporan agensi berita rasmi China, Xinhua.

Data mengenai malapetaka di Zhejiang masih belum diperolehi.

Kelajuan angin yang dibawa oleh Taufan Haikui ialah sekitar 137 kilometer sejam.

Malapetaka pertama yang dibawanya ialah terputusnya bekalan eletrik kepada lebih setengah juta penduduk di Zhejiang.

Taufan Haikui tidak menuju secara langsung ke bandar Shanghai, tetapi hujan lebat tanpa henti dan angin kencang dijangka melanda pada lewat petang Rabu apabila angin itu bergerak ke arah wilayah Anhui.

Namun begitu pihak berkuasa tempatan Shanghai, telah pun melancarkan lampu merah menandakan bahaya maksimum ekoran kedatangan Taufan Haikui.

Keadaan agak huru-hara apabila semua aktiviti ekonomi dan pejabat ditutup awal kerana khuatirkan ketibaan ribut kencang pada sebelah petang nanti.

Pada masa yang sama pihak berkuasa tempatan Shanghai juga telah memindahkan sekurang-kurangnya 374,000 penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah ke kawasan selamat.

Pihak berkuasa khuatir, ribut ini adalah yang terburuk sejak tahun 2005, apabila Taufan Matsa melanda Shanghai dan mengorbankan tujuh orang.

Haikui adalah taufan yang ketiga melanda China dalam tempoh seminggu selepas Taufan Saola dan Damrey yang mengorbankan 23 orang dan menyebabkan berjuta lagi terpaksa dipindahkan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain