suria

Amaran Taufan Ketiga: 200,000 Orang Dipindah Dari Shanghai

SHANGHAI: China memindahkan 200,000 orang dari Shanghai sebagai amaran daripada taufan ketiganya dalam tempoh seminggu yang melanda pantai timur, kata media pada Selasa.

Dilaporkan, media turut memberi amaran bahawa ia merupakan ribut yang paling kuat sejak tahun 2005.

Pentabiran Meterologi China berkata, Taufan Haikui dijangka akan melanda wilayah Zheijiang, di selatan Shanghai, pada lewat Selasa atau awal Rabu.

Seperti Shanghai, pihak berkuasa di Zheijiang bergegas untuk memastikan orang ramai keluar dari kawasan yang dilanda taufan, dengan 130,000 orang sudah dipindahkan, kata agensi berita rasmi Xinhua.

Pihak Shanghai bimbang ribut itu kemungkinan yang terburuk sejak 2005, apabila Taufan Matsa mengorbankan tujuh orang di bandar itu.

Setakat pagi Selasa, taufan itu berada dalam kedudukan 330 kilometer tenggara Zheijiang dan ramalan mengatakan ia akan melanda di antara bandar Ningbo dan Wenzhou. - AFP

Artikel Lain