suria

Lotus Umum Exige S Baharu Di Bilik Pameran Baharu Di London

LONDON: Pembuat kereta yang berpangkalan di Norfolk, Group Lotus, mempamerkan kereta sport baharu, Exige S, serta membuka bilik pameran Lotus Originals di tengah-tengah kawasan West End di sini awal minggu ini.

Kereta baharu itu menjadi hiasan utama di bilik pameran canggih, yang meliputi kawasan seluas 4,800 kaki persegi di bangunan yang pernah menempatkan Cafe Royal yang terkenal tidak jauh dari Piccadilly Circus.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd Datuk Seri Mohd Khamil Jamil berkata coupe dua tempat duduk berkelajuan 170mph, dengan enjin V6, akan mula dikeluarkan di ibu pejabat syarikat di Hethel, Norfolk, lewat bulan ini.

"Dua kejayaan besar ini merupakan permulaan ke hadapan untuk Lotus di bawah DRB-HICOM Group," katanya pada ucapan pada pelancaran awal Exige S dan bilik pameran itu.

Kereta sport dan bilik pameran itu merupakan pengumuman utama pertama sejak syarikat itu diambil alih oleh kumpulan automotif Malaysia DRB-HICOM awal tahun ini.

Unit DRB-HICOM, Proton, membeli Group Lotus pada 1996.

Mohd Khamil mengulangi dan memberi jaminan bahawa DRB-HICOM dan Proton komited sepenuhnya dalam meningkatkan tahap Lotus dan memastikan masa depan yang lebih cerah. "Lotus akan terus dipegang. Jangan dengar sebarang spekulasi. Ia sesuatu yang berbaloi untuk disimpan," katanya.

Bercakap kepada media Malaysia mengenai lawatan tiga hari ke kemudahan Lotus di United Kingdom, katanya, Exige S akan dijual di Malaysia seawal tahun ini dengan pembukaan bilik pameran pertama Lotus dalam negara.

Mohd Khamil yang juga Pengerusi eksekutif Proton berkata: "Malaysia ialah rumah kedua Lotus."

"Rakyat Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak aktiviti Lotus pada separuh kedua tahun ini. Kehadiran Lotus akan lebih dirasai di Malaysia pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Selain bilik pameran, Mohd Khamil berkata kereta sport itu juga akan memiliki pusat 3S sendiri dan bilik pameran Lotus Originals di kawasan strategik di Malaysia.

Berharga lebih daripada 52,000 paun sterling di UK, Exige S ialah daripada barisan keluarga Exige Lotus.

Lotus, bagaimanapun mempunyai lebih banyak jenis kereta untuk ditawarkan pada masa akan datang, menerusi barisan Elise dan Evora.

Bagi bilik pameran itu, ia menawarkan koleksi Lotus Originals, yang meliputi pakaian santai untuk mereka yang berusia antara 25 dan 45 tahun.

Ia juga menawarkan koleki pakaian Lotus yang diilhamkan oleh zaman kegemilangan perlumbaan pada tahun 60-an dan 70-an.

Barisan produk Lotus termasuk baju polo, baju T dan jaket serta kep luar rumah dan barisan pakaian dan aksesori Lotus F1.

Exige S dan bilik pameran itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Seri Zakaria Sulong pada Rabu. Setiausaha Perdagangan Britain Dr Vince Cable juga singgah selepas perasmikan bilik pameran itu.

Turut hadir Pengerusi DRB-HICOM Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza, Anggota Parlimen South Norfolk Richard Bacon dan anggota lembaga pengarah DRB-HICOM, Proton dan Lotus. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain