ALIRAN udara pada kedua-dua lubang hidung ketika bernafas sebenarnya tidak semestinya sama rata pada setiap masa.Menurut perkongsian Public Health Malaysia, keadaan satu lubang hidung terasa lebih lapang berbanding sebelah lagi boleh berlaku secara normal dan merupakan sebahagian daripada proses semula jadi sistem pernafasan manusia. Ini kerana dalam hidung terdapat tisu yang dikenali sebagai turbinat yang boleh mengembang dan mengecut. Perubahan ini berlaku secara bergilir antara bahagian kiri dan kanan hidung di mana selepas beberapa jam, bahagian yang lebih aktif akan bertukar kepada sebelah lagi. Fenomena ini dikenali sebagai nasal cycle atau kitaran nasal dan dikawal oleh sistem saraf autonomi.Maka, hidung kadangkala terasa seperti tersumbat pada sebelah bahagian sebelum keadaan tersebut bertukar ke sebelah lagi beberapa jam kemudian.Posisi badan juga boleh mempengaruhi keadaan ini, terutama ketika tidur mengiring kerana bahagian hidung yang berada di bawah boleh terasa lebih tersumbat.Keadaan satu lubang hidung terasa lebih lapang berbanding sebelah lagi tidak semestinya menandakan masalah kesihatan.Bagaimanapun, jika bahagian hidung yang sama sentiasa tersumbat dan keadaan berlarutan, terutama jika disertai gejala lain, pemeriksaan doktor wajar dilakukan bagi mengenal pasti puncanya.