PESERTA Hyrox dinasihatkan supaya tidak memaksa tubuh melebihi kemampuan ketika bertanding, terutama jika mula mengalami tanda amaran seperti sakit dada, sesak nafas luar biasa atau pening kepala.Nasihat itu diberikan pakar kardiologi sukan, Dr Akanit Srisukwattana selepas seorang atlet dilaporkan mengalami cardiac arrest atau jantung terhenti ketika menyertai pertandingan berkenaan di Bangkok, Thailand. Kejadian itu mendapat perhatian selepas laman Facebook Ploy Talk memuat naik foto menunjukkan seorang peserta Hyrox menerima bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum dibawa ke hospital pada Khamis.Dr Akanit menerusi laman Facebook miliknya menjelaskan jantung terhenti sewaktu bersukan dianggarkan berlaku kepada seorang daripada 100,000 orang dalam populasi umum.Namun kadar itu boleh meningkat kepada seorang daripada 50,000 bagi individu berusia 50 tahun ke atas atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.Bagaimanapun, Dr Akanit berkata data ketika ini masih tidak mencukupi untuk menentukan sama ada Hyrox mempunyai risiko kematian lebih tinggi berbanding larian atau sukan ketahanan lain.Bukan sekadar larianDia menjelaskan Hyrox menggabungkan larian dengan latihan kekuatan dan ketahanan yang boleh menyebabkan kadar denyutan jantung serta tekanan darah meningkat dengan mendadak pada sesetengah peringkat.Keperluan fizikal itu boleh menjadi lebih berat berbanding larian biasa atau latihan beban, terutama ketika melakukan aktiviti seperti Sled Push, Sled Pull dan Burpee Broad Jumps.Justeru, peserta dinasihatkan supaya mengekalkan tahap usaha berdasarkan kemampuan yang sudah dilatih dan tidak memaksa diri semata-mata mahu mencatat masa lebih pantas.Dr Akanit turut memberi amaran kepada individu yang mempunyai faktor risiko seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, sejarah merokok atau penyakit kardiovaskular.Faktor berkenaan boleh meningkatkan risiko pecah plak dalam salur darah yang seterusnya boleh mencetuskan serangan jantung secara tiba-tiba.Ketika bertanding, peserta juga tidak perlu memberikan tenaga maksimum di setiap stesen. cabaran.Sebaliknya, mereka disarankan memperlahankan rentak dan mengawal pernafasan selepas melakukan aktiviti yang mencabar supaya beban kerja jantung dapat dikurangkan sebelum meneruskan larian.Bagi individu berisiko tinggi, Dr Akanit mencadangkan kebanyakan aktiviti dilakukan sekitar 7/10 Rate of Perceived Exertion (RPE), iaitu ketika badan berasa penat tetapi masih terkawal dan mampu bercakap dalam ayat pendek.Tahap RPE 8 hingga 9/10, ketika seseorang terlalu penat sehingga sukar bercakap, mungkin berlaku ketika pertandingan tetapi tidak sepatutnya dikekalkan terlalu lama.Dia turut menekankan kepentingan saringan kesihatan sebelum pertandingan, terutama bagi individu mempunyai faktor risiko untuk menilai tahap kesihatan dan menentukan tahap senaman sesuai keadaan fizikal masing-masing. -Agensi