IMPIAN memiliki hidung lebih cantik bertukar tragedi kepada seorang influencer TikTok Thailand apabila dia mendakwa mengalami masalah pernafasan selepas menjalani pembedahan rhinoplasty di sebuah klinik kecantikan di Bangkok.Pempengaruh wanita berusia 25 tahun yang hanya dikenali sebagai Joy itu mendakwa bentuk hidungnya menjadi senget dan masalah tersebut berlarutan lebih dua tahun. Joy tampil mendapatkan bantuan guaman daripada Thanakrit Law Firm bagi menuntut agar pihak klinik bertanggungjawab.Dalam sidang media pada Ahad, Joy berkata dia menjalani rhinoplasty menggunakan rawan telinga pada Oktober 2023 dengan kos 65,000 baht (kira-kira RM8,000).Prosedur tersebut diberikan secara percuma kepadanya sebagai pertukaran untuk ulasan (review) serta tujuan promosi klinik berkenaan.Jelasnya, dia tertarik untuk memilih klinik itu selepas melihat kelayakan doktor dalam bidang pembedahan plastik, selain terpengaruh dengan lambakan ulasan positif yang diterima klinik berkenaan.Joy mendakwa hidungnya terus kelihatan senget ke kiri selepas pembedahan sebelum doktor memaklumkan pangkal hidungnya sememangnya senget, walaupun perkara itu didakwa tidak dimaklumkan sebelum prosedur.Prosedur pembetulan kemudian dilakukan dengan bayaran tambahan 5,000 baht, namun Joy mendakwa hujung hidungnya kekal merah dan meradang sebelum struktur hidung mula 'runtuh' (jatuh).Keadaan itu menyebabkan dia mengalami masalah pernafasan dan perlu menjalani satu lagi prosedur, termasuk mengeluarkan rawan telinga untuk melakukan pembedahan rhinoplasty sekali lagi selepas enam bulan.Joy mengalami kesukaran untuk bernafas selepas pembedahan dilakukan.Joy berkata, dia akhirnya menolak rawatan lanjut di klinik berkenaan selepas dua prosedur didakwa tidak berjaya.Lebih dua tahun kemudian, dia masih mengalami kesukaran bernafas melalui lubang hidung kiri dan hidung tersumbat, selain perlu menggunakan semburan hidung serta inhaler asma.Masalah itu turut menjejaskan kerjayanya apabila dia tidak dapat bekerja di hadapan kamera atau melakukan reviu berbayar, sekali gus menyebabkan kehilangan pendapatan.Joy mendakwa dia memerlukan kira-kira 300,000 baht (RM37,000) bagi rawatan dan pembedahan seterusnya, namun klinik hanya menawarkan pampasan antara 65,000 hingga 80,000 baht.Lebih mengecewakan, Joy mendakwa gambar pembedahannya masih terus digunakan oleh klinik berkenaan bagi tujuan promosi, atas alasan perjanjian ulasan yang ditandatangani mereka masih sah sehingga tahun 2027.Sementara itu, firma guaman yang mewakili Joy akan berhubung dengan Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan Thailand dan membuat aduan kepada Medical Council of Thailand bagi menyiasat rawatan berkenaan.Nama klinik dan doktor terbabit tidak didedahkan, manakala pihak klinik masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan tersebut.