suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Berhabis ribuan ringgit sebab sayang mak ayah... Tapi rupanya mesin hidrogen sekadar ‘overclaim’, tiada bukti perubatan!

Penggunaan mesin hidrogen mendapat perhatian dalam kalangan warga emas. -Gambar hiasan AI

DALAM usaha menjaga kesihatan, ada yang sanggup mencuba pelbagai kaedah termasuk penggunaan teknologi yang dikatakan mampu memberikan manfaat kepada tubuh.

Namun, tidak semua produk yang dipasarkan disokong dengan bukti saintifik kukuh untuk menyokong setiap dakwaan yang dibuat.

Terbaharu kecoh di media sosial tentang produk mesin hidrogen yang didakwa mampu bertindak melawan radikal bebas dalam badan serta mengurangkan keradangan sel.

Bagaimanapun Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu perkongsian di media sosial mengingatkan orang ramai terutamanya golongan warga emas, supaya sentiasa menilai keberkesanan sesuatu alat seperti mesin hidrogen sebelum mengambil keputusan untuk membelinya.

Secara umumnya, mesin hidrogen berfungsi menghasilkan air yang mengandungi gas hidrogen terlarut atau gas hidrogen khas untuk disedut.

Menurut PHM, isu utama timbul apabila dapatan kajian awal mengenai molecular hydrogen sering dijadikan modal pemasaran oleh penjual untuk menjual mesin berkenaan pada harga yang sangat tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.

Dakwaan tahap keberkesanan mesin hidrogen secara berlebihan

Antara dakwaan yang dikaitkan dengan penggunaan alat tersebut adalah ia mampu mengurangkan keradangan, membuang toksin, membaiki sel badan, melambatkan proses penuaan serta meningkatkan tenaga dan kualiti tidur.

Ada juga dakwaan bahawa teknologi berkenaan boleh membantu individu yang mempunyai diabetes, tekanan darah tinggi, strok dan pelbagai penyakit kronik lain.

Malah, dalam sesetengah sesi demonstrasi, pembeli berpotensi akan diminta mencuba mesin tersebut secara berkumpulan.

Apabila ada seorang ahli kumpulan mendakwa badan terasa lebih segar atau ringan, orang lain dengan mudah terpengaruh untuk terus mencuba dan membeli.

Namun harus diingat, pengalaman individu seperti itu bukan bukti perubatan.

Ia boleh dipengaruhi oleh peer pressure (tekanan orang sekeliling) dan social proof, iaitu kecenderungan seseorang mempercayai sesuatu berdasarkan pengalaman atau penerimaan orang lain.

Harga yang tinggi pula boleh menyebabkan sesuatu produk kelihatan lebih eksklusif dan dipercayai.

Tidak kurang juga pembeli yang terpengaruh dengan ayat seperti... sekadar ikhtiar, kalau sayang mak ayah, cubalah, teknologi dari Jepun atau ramai sudah mendapat manfaat.

Kajian mengenai mesin hidrogen

Menurut PHM, beberapa kajian awal menunjukkan molecular hydrogen mungkin mempunyai kesan terhadap tekanan oksidatif dan keradangan.

Bagaimanapun, kebanyakan kajian berkenaan masih berskala kecil, mempunyai tempoh yang singkat serta menggunakan dos dan kaedah berbeza.

Sebahagian kajian juga hanya menilai perubahan pada bacaan makmal dan bukannya membuktikan sesuatu penyakit benar-benar sembuh atau komplikasi dapat dicegah.

Justeru, bukti yang ada masih belum cukup kukuh untuk mengatakan mesin hidrogen yang digunakan di rumah mampu merawat pelbagai penyakit.

Kajian peringkat awal tidak boleh dijadikan bukti muktamad sesuatu rawatan itu berkesan.

Testimoni bukan kajian klinikal, dan rasa badan lebih segar selepas menggunakannya tidak bermakna penyakit yang dihidapi semakin pulih.

Begitu juga dakwaan 'teknologi Jepun' tidak boleh dianggap sebagai jaminan keberkesanan sesuatu produk.

Pendaftaran sesebuah peranti pula tidak bermaksud semua dakwaan kesihatan yang dibuat oleh penjual terhadap produk berkenaan telah terbukti.

Jangan terburu-buru membeli

PHM menyarankan orang ramai supaya tidak membuat pembelian ketika sesi demonstrasi berlangsung, sebaliknya, ambil masa sekurang-kurangnya 48 jam untuk membuat pertimbangan dan semakan.

Orang ramai juga disaran menyemak nombor pendaftaran serta tujuan sebenar sesuatu peranti menerusi laman Medical Device Authority (MDA) atau Pihak Berkuasa Peranti Perubatan.

Jika penjual membuat dakwaan kesihatan tertentu, minta bukti kajian menyokong dakwaan tersebut dan bukan sekadar bergantung kepada testimoni atau video pelanggan.

Individu yang mempunyai masalah kesihatan juga disaran berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan produk sedemikian.

Jika penjual mendesak, menakutkan atau menggunakan rasa bersalah untuk mendorong pembelian, orang ramai disaran beredar dan membuat pertimbangan semula.

Kesimpulannya, jangan habiskan ribuan ringgit untuk manfaat kesihatan yang masih belum mempunyai bukti kukuh.

Artikel Lain