suria

Lelaki Bersenjata Amuk Di Hollywodd Disangka Sebahagian Adegan Filem

LOS ANGELES: Seorang lelaki bersenjata yang membuat tembakan secara rawak kepada pengguna jalan raya di Sunset Boulevard di Hollywod di sini ditembak mati oleh polis sementara para pelancong yang menyaksikan kejadian itu menyangka ia adalah sebahagian daripada adegan dalam penggambaran filem jenayah.

Orang ramai berasa teruja melihat lelaki berusia 26 tahun itu berjalan membawa pistol dan menembak ke arah kenderaan yang melalui jalan berkenaan, lapor portal www.mirror.co.uk.

Dia mencederakan seorang pemandu sebelum polis tiba dan menembak lelaki itu sehingga mati.

Kejadian itu berlaku di Sunset Boulevard berhampiran dengan lokasi penggambaran drama jenayah ‘Gangster Squad’.

Polis berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tersalah anggap bahawa ia merupakan salah satu penggambaran drama terbabit.

Seorang saksi berkata, dia sedang melalui jalan itu ketika lelaki bersenjata berkenaan mula membuat tembakan ke setiap arah.

Polis sedang menyiasat motif serangan yang dilakukan oleh lelaki itu.

Greg Watkins yang sedang melalui jalan itu berkata: “Di sini adalah Hollywood and mereka sering melakukan penggambaran seperti itu sepanjang masa.

“Jujurnya, saya ingat mereka sedang melakukan penggambaran.”

Terdapat rakaman secara amatur menerusi beberapa klip video yang memperlihatkan seorang lelaki berambut pendek dan memakai jeans koyak serta baju warna putih berulang-alik berhampiran persimpangan paling sibuk antara Sunset Boulevard dan Vine Street.

Chris Johns yang membuat rakaman itu dari tingkap apartmennya di jalan itu cuba untuk mengalihkan perhatian lelaki tersebut daripada terus membuat tembakan.

“Hey, kenapa tidak kamu naik ke sini! Datang ke sini!” Johns menjerit.

Johns memberitahu kepada stesen televisyen tempatan bahawa dia melihat seorang pegawai berpakaian biasa menembak lelaki itu.

“Saya menjerit ke arah pegawai itu dan mengatakan ‘ambil dia keluar dari sini, dialah lelaki (bersenjata) itu!,” kata John.

Lelaki bersenjata itu mati di tempat kejadian. Pegawai Polis Los Angeles, Cleon Joseph berkata, tiada pegawai yang cedera.

Seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu Mercedes-Benz didapati cedera pada bahagian atas badannya dan dibawa ke hospital.

Selain itu, peluru yang ditembak lelaki itu turut mengenai sebuah trak dan kereta lain.

Jurucakap polis, Norma Eisenman berkata, lelaki itu berusia 26 tahun berasal dari Los Angeles.

Polis berkata, mereka tidak boleh mendedahkan nama lelaki itu ketika ini atas permintaan keluarganya sehingga ahli keluarga lain dihubungi mengenai perkara tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain