BEIJING: Tidak ada sebarang racun perosak bertoksik ditemui dalam susu jenama Coca-Cola yang disyaki menjadi punca kematian seorang kanak-kanak di Timur Laut China, kata laporan pemerhati kualiti makanan wilayah itu pada Isnin.Pusat Penyeliaan dan Ujian Kualiti Makanan Kebangsaan China mengeluarkan laporan itu, mengatakan bahawa ujian mendapati tidak ada sebarang kesan Methomyl atau thiodicarb, dua racun perosak bertoksik, pada sampel minuman susu berperisa strawberi itu. Minuman itu dihasilkan oleh anak syarikat Coca-Cola di wilayah Jilin."Hasil ujian mendapati produk kami selamat dan layak, dan insiden keracunan itu tiada kaitan dengan kualiti produk berkenaan," menurut laporan agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Coca-Cola (Jilin) pada Isnin.Syarikat itu turut menjalankan ujian melibatkan tumbuhan dan gudang penyimpanan selepas insiden terbabit. Ia turut berjanji akan terus bekerjasama dengan polis tempatan untuk siasatan lanjut."Kami mempunyai 100 peratus keyakinan bahawa produk kami selamat dan terjamin," katanya dalam kenyataan itu.Pada 28 November, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dan ibunya turut diracuni di Changchun, pusat wilayah Jilin, selepas mengambil minuman susu tersebut. Ibu mangsa masih menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.Siasatan polis mendapati dua lagi mangsa dimasukkan ke hospital selepas mengambil minuman sama.Polis kemudian berkata, racun perosak bertoksik ditemui dalam botol minuman tersebut yang diambil oleh mangsa. Minuman itu ditarik balik dari pasaran di seluruh wilayah berkenaan.Ini bukan kejadian pertama jenama minuman gergasi Amerika Syarikat itu terbabit dalam skandal kualiti di China. Di Beijing, dua kes dilaporkan pada 2009 dan 2010 di mana seorang lelaki dan remaja disyaki diracuni oleh minuman Sprite bercampur merkuri.Siasatan kemudian mendapati kedua-dua kes berkenaan adalah hasil keracunan yang disengajakan dan bukan isu kualiti Coca-Cola. - BERNAMA