suria

Aktor Bollywood Dev Anand Meninggal Dunia

NEW DELHI: Aktor legenda Bollywood Dev Anand meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di London pada malam Sabtu.

Filem romantik lakonan Dev Anand diselangi lagu-lagu Hindi yang merdu menyentuh imaginasi berjuta-juta peminat di seluruh dunia sejak penampilan sulungnya pada 1946.

"Satu era telah pun sampai ke penghujungnya... Dev Anand meninggalkan kekosongan yang mungkin tidak akan dapat diisi... beliau tidak pernah berputus asa dengan apa yang dipercayainya, kegembiraannya dalam menikmati hidup!" kata Amitabh Bachchan, seorang lagi aktor popular India, menerusi mesej tweeter.

Aktor itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun.

Sepanjang kerjayanya, beliau berlakon dalam lebih 100 filem dan menjadi sutradara sekurang-kurangnya 35 filem.

Antara filem lakonannya yang meniti dari bibir ke bibir termasuk "Hare Rama Hare Krishna", "Johny Mera Naam" dan "Amir Garib".

Aktor kacak dan bergaya ini turut digandingkan bersama beberapa aktres Bollywood yang glamor seperti Hema Malini, Rakhee, Parveen Babi dan Zeenat Aman.

Selepas memperoleh ijazah dalam Kesusasteraan Inggeris, beliau berkhidmat sebagai anggota tentera sebelum menceburi bidang lakonan, menerusi filem pertama berjudul "Hum Ek Hain" pada 1946. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain