suria

Donald Trump Setuju Jadi Moderator Perdebatan Calon-Calon Presiden AS Dari Republikan

WASHINGTON: Mogul hartanah dan siri realiti televisyen, Donald Trump berkata bahawa beliau bersama sebuah organisasi media konservatif akan mengendalikan perdebatan calon-calon presiden Amerika dari Parti Republikan pada 27 Disember ini.

Trump, yang pada mulanya merupakan salah seorang daripada calon presiden yang berminat mewakili Parti Republikan tetapi menarik diri kemudiannya akan bertindak sebagai moderator.

Penganjur bersama debat itu ialah penerbit majalah dan laman web berita Newsmax.

"Saya fikir saya mempunyai beberapa soalan menarik untuk diajukan kepada calon-calon kita...," kata Trump kepada stesen televisyen MSNBC.

Walaupun Trump, 65, sebelum ini mengkritik calon-calon dari partinya sebagai lemah tetapi beliau memberi indikasi akan menyatakan sokongan terbuka kepada salah seorang calon sebaik sahaja selesai perdebaran itu nanti.

Bekas Speaker Dewan Perwakilan, Newt Gingrich buat masa ini merupakan calon popular mewakili Republikan untuk menentang Presiden Barack Obama dari Parti Demokrat pada pilihan raya presiden November depan.

Amerika mempunyai dua sistem pilihan raya iaitu satu memilih presiden dan satu lagi memilih anggota-anggota dewan - Dewan Perwakilan dan Dewan Senat.

Di peringkat negeri pula, mereka mengadakan pilihan raya berasingan untuk jawatan gabenor dan naib gabenor. Jawatan gabenor adalah sama seperti menteri besar atau ketua menteri di Malaysia.

Selain Gingrich, seorang lagi calon popular mewakili Parti Republikan ialah bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney yang kini menduduki tempat kedua dari segi populariti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain