suria

Agong Tiba Untuk Lawatan Ke Benua Antartika

CHRISTCHURCH: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tiba di sini Ahad sempena lawatan khas ke benua Antartika.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch kira-kira pukul 9.25 pagi waktu tempatan (4.45 pagi waktu Malaysia).

Ketibaan baginda disambut Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker dan isterinya Joanna Nicholls-Parker, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Datuk Mazlan Muhammad dan pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi.

Seri Paduka diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM) Tan Sri Salleh Mohd Nor dan Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah sempena lawatan khas sehingga Rabu ini.

Tuanku Mizan kemudiannya dibawa ke "Te Whatumanawa Maotitangao Rehua", sebuah rumah adat Maori untuk diberikan sambutan selamat datang oleh kaum Maori, selain mengadakan pertemuan singkat dengan beberapa veteran perang dunia kedua yang pernah berkhidmat di Malaysia (ketika itu Malaya) sebelum meneruskan perjalanan ke Pusat Peranginan Peppers Clearwater.

Baginda akan diraikan Menteri Innovasi dan Sains New Zealand, Wayne Mapp pada jamuan makan malam rasmi pada sebelah malamnya.

Tuanku Mizan dijadualkan berlepas ke Pangkalan Scott pada Isnin dan melawat Kem Induk Amerika Syarikat McMurdo.

Pangkalan Scott adalah sebuah fasiliti penyelidikan kendalian New Zealand di Antartika manakala McMurdo, jiran terdekat pangkalan itu yang menjadi pusat bagi semua program dan uji kaji saintifik.

Penglibatan Malaysia berhubung benua Antartika bermula apabila Malaysia dan Antigua & Barbuda mengutarakan isu Antartika pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1983.

Saintis dan penyelidik Malaysia mula aktif dengan misi penyelidikan apabila Jemaah Menteri meluluskan penyelidikan saintifik ke benua tersebut pada tahun 1997.

Sejumlah 62 ekspedisi dilaporkan telah dijalankan sehingga tahun lepas melibatkan 60 penyelidik dan saintis dari tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain