suria

Taiwan Belum Sedia Bersatu Semula Dengan China

TAIPEI: Presiden Taiwan Ma Ying-jeou berkata pada Isnin cadangan untuk bersatu dengan kerajaan China tidak tersenarai dalam agenda utama negaranya pada waktu ini.

Beliau berkata demikian sehari selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh China menyarankan kedua-dua negara itu bersatu semula.

Ma dalam ucapannya pada perhimpunan bersempena ulang tahun ke-100 memperingati revolusi yang memisahkan kedua-dua negara itu, di sini, Isnin, juga menggesa China agar mencontohi sistem demokrasi yang diamalkan oleh negaranya.

“Kami akan terus mengekalkan keadaan seperti ini iaitu ‘tanpa penyatuan, tanpa kemerdekaan dan tanpa menggunakan kekerasan atau paksaan.

“Keadaan ini banyak membantu dalam mengurangkan tekanan yang berlaku di Taiwan Strait (sempadan pemisah Taiwan dan China) dan memperoleh pengakuan dan sokongan daripada komuniti antarabangsa,” kata Ma.

Taiwan dan China berpisah sejak perang saudara di antara kedua-dua negara itu berakhir 62 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, Beijing masih menuntut hak kedaulatan terhadap pulau itu dan berikrar untuk mendapatkannya semula.

Pada Ahad, Presiden China Hu Jintao yang turut meraikan ulang tahun ke-100 revolusi negara itu mengeluarkan kenyataan bahawa penyatuan semula menerusi jalan damai adalah pilihan terbaik demi kepentingan umum rakyat China termasuk teman-teman senegara di Taiwan.

“Tanah besar (China) harus berani menuju ke arah itu (penyatuan semula),” katanya kepada orang ramai di majlis tersebut.

Perhimpunan yang diadakan di Taiwan, Isnin, adalah bagi memperingati revolusi yang menggulingkan maharaja terakhir China Pu Yi sehingga melupuskan empayar maharaja yang kukuh terbina tanpa putus selama lebih 2,000 tahun.

Kewujudan Republik Rakyat China yang demokratik di bawah pemerintahan Parti Nasionalis di tanah besar hanya bertahan sehingga 1949 apabila Komunis mengambil alih tampuk pemerintahan.

Peralihan kuasa ini memaksa saki-baki puak nasionalis berpindah ke Taiwan dan terus menggunakan nama tersebut sehingga kini. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain