suria

Yingluck-Abhisit Bincang Masalah Banjir

BANGKOK: Dalam menghadapi masalah banjir yang kritikal di Thailand, kedua-dua pihak kerajaan dan anggota politik pembangkang bekerjasama bagi menangani krisis itu, semangat politik yang jarang ditunjukkan di rantau ini.

Pemimpin pembangkang Abhisit Vejjajiva yang juga bekas perdana menteri dan beberapa pemimpin parti Demokrat melawat Lapangan Terbang Don Mueang, di sini, yang dijadikan Pusat Operasi Bantuan Banjir, pada pukul 12.20 tengah hari.

Pada masa itu, pengganti beliau Yingluck Shinawatra baru selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di lapangan terbang itu.

Kedua-dua mereka kemudian mula berbincang mengenai masalah banjir itu.

Dalam perbincangan itu, Abhisit memberi pelbagai cadangan termasuk meminta kerajaan menjadikan kawasan kargo seluas 70,000 meter persegi di lapangan terbang itu sebagai pusat pemindahan.

Pada masa ini, sebahagian daripada lapangan terbang itu digunakan sebagai pusat mengumpul dan mengedar bantuan banjir serta pusat operasi banjir.

Ketika perbicangan itu, Abhisit ditemani bekas menteri kewangan Korn Chatikavanij dan jurucakap parti Demokrat Chavanond Intarakomalsut. Terdahulu Abhisit melawat pusat pemindahan mangsa banjir di kampus Rangsit Universiti Thammasat.

Dalam menghadapi krisis banjir itu, parti pembangkang itu juga menyampaikan bantuan bekalan banjir dan bantuan kewangan kepada mangsa banjir dari masa ke semasa.

Malah abang Yingluck, Thaksin menyatakan penghargaan kepada pembangkang kerana membantu menyediakan makanan dan keperluan harian kepada mangsa banjir.

"Ini adalah petanda yang baik untuk negara. Ketika kita menghadapi krisis, semua parti politik mengenepikan perbezaan politik masing-masing dan bekerjasama untuk membantu negara," kata Thaksin dalam temu bual khas dengan akhbar Thai menggunakan dateline Dubai yang disiarkan pada Selasa.

Kira-kira 40 peratus dari negara ini masih terjejas dengan banjir, dengan jumlah kematian mencapai 269 orang sejak banjir melanda negara ini secara berperingkat akhir Julai lepas sebelum mencapai tahap kritikal baru-baru ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain