suria

Ketua WHO Selar 'Taktik Kotor' Syarikat Gergasi Tembakau

MANILA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Isnin menggesa semua kerajaan berganding bahu menentang syarikat-syarikat gergasi tembakau yang disifatkan sebagai industri kotor yang penuh muslihat, pembuli dan tidak bermoral ekoran usaha berterusan mereka yang menggalakkan tabiat merokok di kalangan orang ramai.

Ketua Pengarah WHO Margaret Chan menuduh syarikat-syarikat gergasi tembakau ini menggunakan saluran undang-undang bagi menyangkal undang-undang negara dan persidangan antarabangsa untuk mengawal penjualan rokok.

“Adalah sesuatu yang dahsyat dan menakutkan apabila memikirkan sebuah industri yang dikenali dengan muslihat kotor ini dibenarkan untuk mengatasi kepentingan orang awam,” kata Chan pada mesyuarat WHO di sini, Isnin.

Chan yang memetik tindakan undang-undang oleh industri tembakau ini terhadap kempen anti-merokok di Australia dan Uruguay berkata ‘taktik-taktik yang menakutkan’ ini bertujuan untuk menakut-nakutkan negara lain untuk tidak melaksanakan kempen yang sama.

“Adalah sukar bagi mana-mana negara untuk menampung kos guaman perbicaraan sebegini, terutamanya di kalangan negara-negara kecil.

“Syarikat-syarikat gergasi tembakau ini mampu untuk melantik peguam-peguam terbaik dan firma perhubungan awam dengan wang mereka. Wang yang banyak dapat mengatasi moral, etika dan perdebatan isu kesihatan orang awam serta memperlekehkan bukti saintifik,” katanya.

Chan menyeru negara-negara yang menyertai forum Pasifik Barat agar tidak tunduk kepada ancaman tersebut.

“Saya menggesa semua negara bersatu, tidak mudah mengalah... kita tidak boleh membiarkan industri tembakau menguasai keadaan ini,” katanya.

Chan yang memuji usaha kerajaan Filipina menaikkan duti cukai ke atas produk-produk tembakau berkata WHO bersiap-sedia untuk menyokong negara-negara lain yang turut melaksanakan langkah-langkah yang sama.

Chan bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk bantuan yang diberikan WHO untuk memerangi industri tembakau.

Sejak sekian lama, WHO telah mengharamkan iklan dan promosi produk rokok, selain sekatan merokok di kawasan awam dan mengenakan cukai yang lebih tinggi.

Di Australia, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Julia Gillard menyasarkan untuk memperkenal undang-undang pertama di dunia yang mewajibkan semua produk rokok dijual dalam bungkusan biasa bermula 1 Januari depan.

Bagaimanapun, syarikat tembakau Pihilip Morris yang telah memulakan tindakan undang-undang, mendakwa perancangan Asutralia itu mencabuli hak kewajipan perdagangan antarabangsa dan memberi amaran untuk membuat tuntutan ganti rugi sejumlah berbilion dolar jika perancangan itu diteruskan.

Setiausaha Jabatan Kesihatan Australia Jane Halton berkata dalam forum WHO bahawa kerajaannya bertekad untuk meneruskan pelaksanaan itu walaupun terpaksa berdepan ‘taktik-taktik subversif’ syarikat-syarikat tembakau.

“Kami bersedia untuk menangkis serangan syarikat-syarikat tembakau tetapi kami akui ia akan menjadi satu perbalahan yang besar,” katanya kepada para delegasi WHO.

Dokumen-dokumen WHO yang diedarkan di forum berkenaan berkata 3,000 perokok mati pada setiap hari di rantau Pasifik Barat.

Rantau tersebut meliputi jumlah populasi seramai 1.6 bilion penduduk termasuk China, Australia, Jepun, Korea Selatan, Mongolia, Filipina, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Singapura, Brunei dan beberapa negara kepulauan di Pasifik Selatan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain