suria

China Memperingati Ulang Tahun Kejatuhan Empayar Qing

WUHAN: Apabila tentera Maharaja Pu Yi dari Dinasti Qing terakhir melepaskan tembakan ke arah anggota-anggota revolusi pada 10 Oktober 1911, ia merupakan tembakan yang sekaligus menamatkan pemerintahan beraja berusia lebih 2,000 tahun di China.

Tembakan pertama dilepaskan di Wuchang - hari ini sebahagian daripada bandar Wuhan - sekaligus mencetuskan peperangan antara bala tentera maharaja dengan askar-askar yang memberontak menentang pemerintahan beraja.

Ekoran daripada insiden itu, 16 lagi wilayah mengisytiharkan perang ke atas maharaja. Pemberontakan besar terakhir dalam sejarah China ini dikenali sebagai Revolusi Xinhai.

Pemberontakan yang bermula di Wuchang itu akhirnya membawa kepada kejatuhan empayar beraja China dan menandakan kemunculan sebuah republik.

Republik ini diketuai oleh revolusinari bernama Sun Yat-sen yang juga pemimpin Parti Nasionalis yang berjuang menuntut semangat nasionalisme, demokrasi dan kesejahteraan rakyat.

Pemerintahan parti ini kemudiannya ditumbangkan oleh Parti Komunis China yang jauh lebih besar dan berpengaruh.

Hari ini Republik Rakyat China meraikan peristiwa tumbangnya kerajaan beraja China tanpa riuh rendah melainkan perhimpunan oleh para pemimpin Parti Komunis, pembukaan filem berjudul "1911", arahan Jackie Chan dan juga pembukaan sebuah muzium baru di Wuhan di mana segala-galanya bermula.

Di China sebenarnya, yang menjadi perayaan negara ialah ulang tahun pemerintahan Parti Komunis pada setiap Julai yang mana tahun ini telah menyaksikan perayaan yang ke- 90. Ini kerana jika perayaan kejatuhan pemerintahan beraja dijadikan sambutan rasmi negaran terdapat sedikit masalah dengan apa yang turut disambut di Taiwan.

Kerajaan Nasionalis China ditumbangkan pada tahun 1949 selepas meletusnya perang saudara dengan penyokong-penyokong Parti Komunis.

Kekalahan puak nasionalis telah memaksa mereka melarikan diri ke Taiwan dan membentuk sebuah kerajaan dan negara yang terpisah dengan Republik Rakyat China sejak itu.

Walau bagaimanapun, Sun, yang meninggal dunia pada 1925, kekal sebagai seorang tokoh yang tetap dihormati sama ada di tanah besar apatah lagi di Taiwan.

Namun begitu oleh kerana 10 Oktober iaitu hari pemberontakan Wuchang diraikan sebagai hari kebangsaan Taiwan maka Kerajaan Komunis China enggan merayakan hari tersebut sebagai sebahagian daripada perayaan rasmi negara mereka. Tetapi ia masih diraikan sebagai perayaan tidak rasmi.

Ini kerana Republik Rakyat China tidak mengiktiraf Taiwan sebagai wilayah yang merdeka dan masih menuntut pulau tersebut sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang memberontak.

Pendek kata, perbezaan ideologi dan sejarah silam antara dua ideoloq ini telah menjadikan Revolusi Xinhai terus diperdebatkan sama ada ia perlu diraikan sebagai pencetus kepada pembentukan sebuah republik di Republik Rakyat China.

Sejarawan, Lei Yi dari Akademi Sains Sosial China telah dipetik oleh agensi berita AFP sebagai berkata bahawa tercetusnya Revolusi Xinhai sehingga jatuhnya sebuah pemerintahan beraja yang berusia lebih 2,000 tahun tidak dinafikan telah meninggalkan kesan yang mendalam ke atas saikologi rakyat China.

Pada masa yang sama, para pemimpin Parti Komunis China percaya bahawa merekalah penerus semangat Revolusi Xinhai kerana puak nasionalis telah mengkhianati revolusi itu sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir Di Thailand Semakin Buruk

Artikel Lain