suria

EU Kecam Rusuhan Agama Di Mesir Yang Mengorbankan 24 Orang

LUXEMBOURG: Menteri-menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin mengecam keganasan terburuk yang tercetus akibat perbezaan puak di Mesir sejak penyingkiran Hosni Mubarak.

Mereka turut meminta pihak berkuasa untuk menggandakan usaha bagi melindungi minoroti agama di kawasan konflik itu.

“Sudah tiba masanya kepimpinan Mesir memahami kepentingan agama yang pelbagai dan bersikap tolak-ansur,” kata Menteri Luar Jerman Guido Westerwelle sambil menekankan perasaan tidak senang kesatuan itu terhadap konflik tersebut.

Kecaman terhadap keganasan itu dipersetujui sebulat suara di kalangan ahli-ahli lembaga kesatuan berkenaan.

“Adalah sangat penting bagi pemerintahan Mesir mengukuhkan semula kebebasan beragama di negara itu,” kata Setiausaha Luar British Wiliam Hague.

Ketua Hal Ehwal Luar EU Catherine Ashton berkata ia bergantung kepada Mesir “untuk melindungi rakyat anda, sesiapa pun juga, dari mana juga mereka berasal atau apa juga kepercayaan agama mereka.”

Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan lebih 200 tercedera dalam keganasan yang tercetus di Kaherah, malam Ahad.

Pembantah-pembantah Kristian berkata demonstrasi mogok duduk di bangunan stesen televisyen negeri itu telah diserang oleh kumpulan samseng yang berpakaian biasa.

Rusuhan tersebut berlanjutan hingga ke lewat malam, memaksa lebih 1,000 tentera dikerah bersama kenderaan bersenjata ke lokasi kejadian bagi melindungi bangunan tersebut.

“Ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila orang awam yang ingin mengamalkan agama Kristian diancam sedemikian. Ia sangat tidak boleh diterima,” kata Westerwelle.

Agensi berita rasmi Mesir mengumumkan bahawa 12 orang ‘pemula rusuhan’ ditahan susulan pertempuran berdarah yang dahsyat di antara penganut Kristian, Muslim dan penguatkuasa keselamatan.

Pertempuran pada Ahad itu tercetus susulan serangan di sebuah gereja di selatan Mesir, baru-baru ini. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Lain