suria

Taufan Roke Landa Jepun, 10 Terbunuh

TOKYO: Taufan Roke yang melanda Jepun dan mengancam loji nuklear Fukishima pada Khamis mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang termasuk seorang wanita berusia 101 tahun.

Hujan lebat bawaan Roke mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh pada awal bulan ini dan mengorbankan kira-kira 100 orang.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan beberapa loji nuklear dengan lebih teruk selepas pekerja loji terbabit pantas menyekat radiasi daripada tersebar.

Agensi berita tempatan, Jiji Press menganggar sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala lima lagi masih hilang dan beratus-ratus cedera akibat tragedi itu.

Polis dan pasukan penyelamat menemui empat mayat pada pagi Khamis termasuk seorang warga emas yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Iwate.

Mayat dua mangsa termasuk seorang wanita berusia 101 tahun ditemui di wilayah Shizuoka susulan tragedi tanah runtuh pada Rabu.

Di Sendai, bandar terbesar di wilayah timur laut yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu, seorang pegawai melaporkan dua pekerja syarikat pembentungan masih hilang.

"Kami menemui satu mayat pada pagi ini tetapi masih belum dapat mengesahkan sama ada ia adalah salah seorang daripada dua pekerja yang hilang itu," katanya.

Polis dan pasukan penyelamat turut menemui satu lagi mayat di sebatang sungai dekat wilayah Aichi.

Mereka sedang menjalankan siasatan sama ada kematian itu berpunca daripada Taufan Roke.

Taufan Roke melanda Jepun yang masih dalam proses pemulihan ekoran gempa bumi kuat dan tsunami yang mengorbankan 20,000 penduduk.

Pada pukul 4.40 pagi waktu tempatan, Taufan Roke mencatat kelajuan angin maksimum sekuat 250 kilometer sejam di utara kepulauan Hokkaido.

Ia dijangka menjadi semakin lemah pada waktu petang.

Artikel Lain