suria

Adakah Singapura Akan Turut Mansuhkn ISA ?

SINGAPURA: Adakah Singapura akan tunduk kepada aspirasi pihak-pihak berkepentingan untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), ekoran langkah Malaysia yang akan memansuhkan undang-undang penahanan pencegahan itu?

Pada masa ini, isu itu hangat diperdebatkan di kalangan rakyat Singapura, ahli akademik, pembangkang dan penganalisis.

Pada 15 Sept, dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen menjelang sambutan Hari Malaysia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan memansuhkan dua undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan ISA dan Ordinan Darurat - serta menarik balik lesen yang dikenakan ke atas media dan menyemak semula undang-undang mengenai kebebasan berhimpun.

Pengumuman itu disifatkan oleh para penganalisis sebagai perubahan dasar paling berani yang diambil Najib sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2009 daripada Perdana Menteri sebelum itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib berkata perubahan itu dibuat selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya serta untuk memulihara ketenteraman awam, menjamin kebebasan awam dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

ISA dan Ordinan Darurat yang membenarkan suspek ditahan tanpa didakwa di mahkamah bagi tempoh sehingga dua tahun, akan digantikan dengan dua undang-undang baru.

Bekas calon presiden Singapura Tan Jee Say menggesa kerajaan memansuhkan ISA dan menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk memupuk perpaduan negara.

Dalam tulisan terbarunya dalam laman web Singapore Community Online Citizen, beliau berkata suruhanjaya itu juga perlu meneliti semua kes penahanan di bawah ISA sebelum ini.

Objektifnya ialah untuk mengetahui perkara sebenar dan perdamaian, daripada menghukum mereka yang bertanggungjawab bagi penahanan ISA, katanya.

ISA pertama kali dilaksanakan di Malaya oleh British pada 1948 untuk membanteras pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya semasa zaman Darurat. Ordinan Peraturan Darurat 1948 dikuatkuasakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Sir Edward Gent.

Darurat berakhir pada 1960 dan ordinan itu dimansuhkan. Bagaimanapun penahanan pencegahan masih dikekalkan.

Sebagai respons kepada soalan media mengenai langkah Malaysia itu, Kementerian Dalam negeri Singapura (MHA) mempertahankan status quo itu menyatakan ISA masih relevan dan penting sebagai langkah terakhir untuk memulihara keselamatan negara.

Dalam kenyataan pada Jumaat, MHA berkata ISA di Singapura hanya digunakan untuk ancaman subversif, ekstremisme perkauman dan agama (seperti mencetuskan isu perkauman atau kebencian terhadap agama, persengketaan dan keganasan) dan pengintipan.

Stesen televisyen tempatan, Channel NewsAsia hari ini melaporkan bahawa pengumuman pada minggu lepas bahawa Malaysia akan memansuhkan ISA telah mencetuskan persoalan dan perbahasan sama ada Singapura patut mengambil langkah serupa.

Manifesto Parti Pekerja termasuk manifesto pilihan raya 2011 telah mencadangkan pemansuhan ISA di Singapura. -BERNAMA

Artikel Lain