suria

Vodafone, Conexus Mobile Alliance Meterai Perkongsian Strategik

SINGAPURA: Vodafone Group dan Conexus Mobile Alliance bersama mengumumkan yang mereka telah bersetuju untuk membentuk perkongsian strategik yang akan memperluas operasi pasaran rakan Vodafone di Asia dan memberikan sokongan yang lebih teguh kepada pelanggan anggota Conexus dalam perkhidmatan Vodafone di peringkat global.

Ketua Pegawai Komersial kumpulan Vodafone, Morten Lundal, berkata: "Nilai kerjasama dengan Conexus kepada Vodafone adalah besar memandangkan semakin pentingnya Asia kepada pelanggan enterpris kami.

"Perjanjian-perjanjian ini akan memperkukuh dan meningkatkan faedah kepada pelanggan-pelanggan kami yang beroperasi dalam pasaran yang besar dan dinamis ini," katanya pada upacara untuk mengumumkan perkongsian itu di sini Selasa.

Pengerusi Conexus, Andrew Kwok, berkata: "Conexus sentiasa giat mencari peluang-peluang pertumbuhan untuk meningkatkan lagi nilai dan daya saing di rantau ini dan di seluruh dunia.

"Melalui pertumbuhan semula jadi dan pengambilalihan anggota, kami telah meningkatkan asas pelanggan kami sebanyak tiga kali ganda daripada 100 juta kepada 320 juta dalam hanya lima tahun selepas penubuhan."

Vodafone berhasrat mengadakan kerjasama dengan sebanyak mungkin anggota Conexus, untuk melengkapkan operasi serantau Vodafone sendiri di India, Australia, Fiji dan New Zealand dan rakan kongsinya yang sedia ada di Malaysia (Celcom) dan Sri Lanka (Dialog).

Lama kelamaan perjanjian Vodafone dengan Conexus itu akan merangkumi perkongsian dengan FarEasTone (Taiwan), Hutchison Telecom (Hong Kong), NTT DOCOMO (Jepun), SMART (Filipina), StarHub (Singapura) dan TrueMove (Thailand).

Anggota Conexus akan dapat menggunakan jenama Vodafone, menikmati akses kepada peranti dan perkhidmatan Vodafone dalam pasaran tempatan masing-masing dan menjadi rakan kongsi keutamaan Vodafone dalam bidang-bidang kerjasama yang telah dipersetujui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain