suria

7 Terbunuh Dalam Letupan Kereta Di Pakistan

KARACHI: Polis berkata tujuh orang terbunuh dan beberapa lagi dilaporkan cedera dalam serangan letupan kereta yang disasarkan kepada seorang pegawai polis senior di ibu kota kewangan Pakistan, Karachi, Isnin.

Senior Superintendent Aslam Khan yang tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kehilangan rumahnya dalam kejadian itu memberitahu AFP, dia telah diugut oleh Taliban Pakistan dan menjadi sasaran serangan tersebut.

“Serangan letupan kereta itu berlaku di depan rumah saya. Saya telah menerima ancaman daripada kumpulan Tehreek-e-Taliban. Taliban terlibat dalam serangan ini,” katanya.

Sebelum ini, Khan mengetuai unit menentang keganasan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Polis di Karachi yang menyiasat sarang militan Islam di bandar raya itu.

“Tujuh orang telah terbunuh dan beberapa lagi mengalami kecederaan akibat serangan letupan kereta itu,” kata seorang lagi pegawai polis senior, Shoukat Hussain kepada AFP.

“Kami telah menerima tiga mayat,” kata seorang doktor senior, Simi Jamal kepada AFP yang ditemui di hospital Jinnah, di sini.

Karachi yang merupakan hab ekonomi Pakistan kini berdepan pergolakan etnik dan politik terburuk dalam tempoh 16 tahun dengan 100 kematian dilaporkan dalam masa seminggu pada bulan lalu.

Pergolakan berkenaan mempunyai kaitan dengan ketegangan etnik di antara kelompok majoriti berbahasa Urdu iaitu Mohajir yang diwakili oleh Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) dan puak migran, Pashtun yang bergabung dengan parti lawan, Parti Kebangsaan Awami (ANP).

Parti pemerintah Parti Rakyat Pakistan (PPP), yang mengambil alih pemerintahan pada 2008 daripada tentera yang memerintah negara itu selama sembilan tahun sebelum ini, menegaskan mereka mampu untuk mengawal pertumpahan darah, walaupun mendapat campur tangan daripada tentera. - AFP

Artikel Lain