Amerika Buat Persiapan Memperingati Tragedi 11 September

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta akan mengepalai majlis memperingati tragedi 11 September di memorial baru yang dibina di tempat kejadian di New York dan Pennsylvania Khamis ini.

Ini adalah ulang tahun yang kesepuluh memperingati tragedi yang meragut nyawa 2,977 orang.

Sebagai sebahagian daripada pelbagai majlis yang diatur bagi memperingati kejadian itu, Panetta akan terbang ke New York City dari ibu negara Amerika ini untuk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban di 'Ground Zero'.

Beliau kemudian dijadualkan untuk berlepas ke Shanksville, Pennsylvania, yang mana salah sebuah daripada empat pesawat penumpang yang dirampas oleh pengganas Al-Qaeda terhempas selepas para penumpang cuba melawan para perampas pesawat itu.

Di situ, Panetta akan turut menyaksikan memorial yang baru dibina bagi memperingati 40 mangsa yang terkorban dari Penerbangan United Flight 93.

Pesawat tersebut dalam perjalanan dari Newark, New Jersey dekat New York menuju ke San Francisco sebelum ia dirampas oleh pengganas-pengganas berkenaan.

Panetta akan diiringi oleh askar dari ketiga-tiga cabang angkatan tentera iaitu darat, udara dan laut yang telah memohon untuk menjadi askar dan berkhidmat di Iraq serta Afghanistan ekoran daripada kejadian 11 September itu.

Panetta akan menjadi anggota kabinet kerajaan persekutuan yang pertama menyaksikan memorial yang baru dibine di New York dan Pennsylvania, yang akan dibuka kepada umum mulai Ahad ini.

Beliau juga dijadualkan untuk menyertai majlis memperingati mereka yang terkorban di Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon) apabila sebuah lagi pesawat merempuh bangunan utama jabatan tersebut sejurus selepas dua buah pesawat merempuh menara kembar Pusat Dagangan Dunia di New York.

Daripada 2,977 orang yang disahkan terkorban dalam tragedi 11 September itu, 2,753, mangsa adalah di New York, sementara 184 orang lagi terkorban di Pentagon dan lagi 40 orang di Shanksville.

Jumlah tersebut tidak termasuk 19 orang yang disyaki sebagai pengganas yang merampas pesawat-pesawat berkenaan.

Artikel Lain