suria

Ahli Politik India Yang Diketahui Rapat Dengan Bintang Bollywood Ditahan Kerana Beli Undi

NEW DELHI: Seorang ahli politik berpengaruh India, yang mempunyai hubungan rapat dengan beberapa orang bintang Bollywood terkenal, ditangkap dan ditahan, Selasa, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan membeli undi.

Amar Singh, ditahan pagi ini kerana merasuah beberapa orang anggota parlimen semasa pengundian amanah yang genting pada Julai 2008, semasa perdebatan perjanjian nuklear sivil India-Amerika.

Hakim mahkamah khas Sangita Dhingra Sehgal tidak menunjukkan simpati terhadap ahli politik berusia 55 tahun itu, dari negeri Uttar Pradesh, yang menghidap sakit buah pinggang.

Beliau ditahan hingga 19 September. "Saya yakin dengan badan kehakiman, saya ke sini walaupun melanggar nasihat doktor. Saya perlu ke luar negeri setiap tiga bulan untuk rawatan dan pemeriksaan," kata Singh kepada media tempatan.

Tangkapan beliau dibuat sehari selepas seorang lagi ahli politik berpengaruh dan taikun perlombongan Janardhan Reddy ditangkap di Bangalore kerana didakwa melakukan perlombongan haram di negeri Karnataka di selatan India. Tangkapan tokoh-tokoh berprofil tinggi ini berlaku selepas sebuah persatuan sivil berpengaruh, diketuai oleh aktivis anti-rasuah veteran Anna Hazare, mencetuskan protes di seluruh negara bagi membanteras rasuah.

Beberapa ahli politik dan tokoh korporat terkenal dipenjara kerana terbabit dengan rasuah berkaitan Sukan Komanwel 2010 dan kegiatan memberi lesen spektrum handfon. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain