suria

Pencarian Mangsa Taufan Talas Jepun Diteruskan Selepas 25 Terkorban

TOKYO: Pasukan penyelamat masih meneruskan misi mencari mangsa yang hilang akibat Taufan Talas yang melanda bahagian barat Jepun sehingga mencatatkan sekurang-kurangnya 25 terbunuh dan lebih 50 mangsa lagi belum ditemui.

Hujan lebat yang berpunca daripada taufan dahsyat itu pada Sabtu telah menyebabkan tanah runtuh dan banjir besar yang memusnahkan bangunan, rumah dan jalan raya.

Misi yang dimulakan oleh pihak polis dan bomba seawal pagi Isnin itu turut mengeluarkan amaran jumlah mangsa dijangka terus meningkat dengan ancaman berterusan kejadian tanah runtuh dan kerosakan jalan raya yang menyulitkan usaha mencari.

Kejadian itu berlaku selang beberapa selepas perdana menteri baru Jepun, Yoshihiko Noda mengangkat sumpah jawatan itu pada Jumaat bagi menggantikan Naoto Kan.

"Kami akan cuba melakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup dan mencari mangsa yang hilang," kata Noda kepada pemberita, Isnin.

Akhbar harian Yomiuri melaporkan sistem cuaca Taufan Talas yang bergerak dengan kelajuan pada sekitar 10 kilometer (enam batu) sejam itu telah mencurahkan 1.8 meter air hujan di wilayah Nara selama lima hari sehingga Ahad adalah melebihi paras purata hujan tahunan di Tokyo.

Wilayah Wakayama adalah yang paling teruk terjejas dengan 17 kematian direkodkan dan 28 mangsa lagi masih belum ditemui. Lebih 1000 anggota polis meneruskan misi pencarian itu.

“Kami berdepan kesukaran untuk mengawal keadaan semasa... bekalan elektrik yang terputus dan keadaan jalan raya yang rosak menghalang kenderaan kami untuk memasuki kawasan-kawasan yang terjejas.

"Kami menjalankan operasi ini di segenap pelusuk bandar ini. Talian telefon yang terputus lebih menyukarkan usaha untuk menjejaki mangsa yang terperangkap di kawasan tanah runtuh atau banjir," kata seorang pegawai bomba di Tanabe, wilayah Wakayama.

Seorang lelaki dilaporkan terbunuh di dalam kejadian tanah runtuh dan tujuh lagi hilang di dalam bandar itu.

Menurut laporan media, isteri dan anak perempuan datuk bandar Nachikatsuura, Shinichi Teramoto juga hilang dan rumahnya musnah ekoran limpahan air yang mencurah dengan lebat.

Rakaman televisyen turut menunjukkan kejadian tanah runtuh yang besar telah menghempas rumah-rumah kayu komuniti di kawasan pergunungan.

Banjir lumpur pula telah menenggelamkan jalan dan menghanyutkan cebisan kayu kayan dna kereta.

Bagaimanapun, catatan Kyodo News pula melaporkan jumlah mangsa yang lebih tinggi daripada angka rasmi yang dikeluarkan dengan 26 kematian, 54 hilang dan sekurang-kurangnya 3600 orang terkandas ekoran kejadian itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain