suria

Australia Tangguh Laksana Perjanjian Pertukaran Suaka

SYDNEY: Australia terpaksa menangguhkan pelaksanaan perjanjian pertukaran suaka dengan negara-negara lain buat sementara waktu, menurut Menteri Imigresen Chris Bowen pada Ahad.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa perjanjian sedemikian antara kerajaan Australia dan Malaysia adalah menyalahi undang-undang baru-baru ini.

Perdana Menteri Julia Gillard menerima tekanan berhubung dengan polisi berkaitan pelarian di tengah-tengah peningkatan mereka yang mencari perlindungan politik di Australia.

Bowen memberitahu, nasihat perundangan yang diterima menunjukkan undang-undang mutakhir negara itu kini akan turut menghalang pelaksanaan perjanjian tersebut.

Perintah mahkamah berkenaan satu tamparan kepada kerajaan Australia, yang berharap pertukaran pelarian dengan Malaysia akan menjadi satu tindakan pencegahan bagi menghentikan kemasukkan kapal-kapal yang membawa pemohon suaka ke Australia.

Jika kerajaan menghentikan rancangan pertukaran suaka itu, ia masih terikatengan perjanjian untuk menerima 4,000 pelarian dari Malaysia namun tidak boleh menghantar 800 pemohon suaka sebagai yang dipersetujui dalam perjanjian pertukaran suaka itu.

Keputusan Mahkamah Tinggi Australia pada Rabu berkenaan mengekalkan satu injunksi yang dikeluarkan pada tiga minggu lepas kepada 41 pemohon suaka yang mengemukakan rayuan terhadap penghantaran secara paksa ke Kuala Lumpur dari Christmas Island, demikian menurut laporan akhbar "The Australian".

Mereka merupakan kumpulan pertama pemohon suaka yang akan dipindahkan ke Malaysia selepas kerajaan Australia secara rasmi menandatangani perjanjian pada Julai untuk menghantar 800 orang hanyut ke Malaysia, sebagai pertukaran kepada penerimaan 4,000 pelarian.

Mahkamah Tinggi juga mendapati pemohon suaka yang berusia bawah 18 tahun tidak boleh dibawa keluar Australia secara sah daripada segi undang-undang tanpa kebenaran bertulis menteri.

Mahkamah itu mendapati tidak dapat memproses secara sah pemohon-pemohon suaka ke negara ketiga kecuali negara itu terikat di bawah undang-undang untuk menyediakan perlindungan secara berkesan kepada mereka sementara proses menentukan kesahihan status pelarian dilakukan.

Mahkamah itu turut mendapati bahawa negara pemproses berkenaan mestilah menyediakan pemohon suaka dengan "prosedur efektif bagi menilai keperluan mereka untuk mendapatkan perlindungan", dan menyediakan perlindungan bagi pelarian yang disahkan sementara menunggu penempatan semula mereka atau kembali ke negara asal.

Mengenai fakta-fakta yang dipersetujui pihak-pihak berkenaan, mahkamah menganggap Malaysia tidak terikat kepada undang-undang untuk menyediakan akses dan perlindungan di bawah Akta Imigresen sebagai satu deklarasi yang sah," menurut mahkamah dalam satu kenyataan.

Artikel Lain