suria

Perdana Menteri Hadiri Sambutan Hari Raya Di Perth

PERTH: Lebih 3O0 penuntut Malaysia memberikan sambutan memberangsangkan kepada Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak dan isterinya Datin Sri Rosmah Mansor apabila mereka menghadiri sambutan Hari Raya di sebuah hotel di sini, Sabtu malam.

Mereka disambut Konsul Jeneral Malaysia di Perth, Hamidah Ashari.

Dalam ucapannya, yang disifatkan oleh penuntut sebagai satu inspirasi, Najib menjelaskan mengenai 1Malaysia dan manfaatnya yang besar kepada negara dan rakyat.

"1Malaysia bermatlamat menyatukan negara kita dan mendekatkan hubungan semua kaum bagi mencapai kemajuan dan kemakmuran," katanya.

Najib juga memberitahu mereka bahawa ribuan peluang pekerjaan akan dihasilkan daripada projek-projek utama yang pada masa ini sedang dijalankan di Malaysia, termasuk sistem kereta api bawah tanah yang menurutnya memerlukan rakyat yang berbakat, berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Beliau menggesa para penuntut supaya bekerja keras, mendapatkan kemahiran dan kelulusan yang baik dan pulang ke Malaysia untuk menghidupkan impian mereka mendapatkan kerja dengan pendapatan lumayan dan persekitaran yang baik.

"Sesetengah daripada anda mungkin mahu menetap di sini selepas tamat pengajian bagi mendapatkan pengalaman kerja di Australia. Tidak mengapa. Tapi harap kembali ke Malaysia kerana kami akan memerlukan anda," kata Najib.

Perdana Menteri yang berada di sini untuk bercuti bagi menerima rawatan pakar bagi lututnya yang dibedah baru-baru ini, berkata beliau ternanti-nanti pada hari di mana rakyat Malaysia akan mendapat gaji yang setaraf dengan mereka yang ditawarkan di peringkat antarabangsa.

Najib berkata dengan purata pertumbuhan ekonomi sebanyak 6 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang, Malaysia akan berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar maju.

"Ini merupakan matlamat kerajaan tetapi mungkin ada faktor-faktor luaran yang tidak diketahui di luar kawalan kita yang boleh menarik ke belakang ekonomi kita, dan kita perlu kekal berwaspada," katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil sejak mencapai kemerdekaan.

"Kita menunaikan apa yang telah dijanjikan; kita tidak akan menjanjikan kamu dengan matahari, bulan dan galaksi. Itu bagi orang lain untuk berjanji.

"Kita mesti berhemah dan berbelanja mengikut kemampuan kita," katanya.

Ketika ditanya seorang penuntut untuk menamakan tiga perkara di mana rakyat Malaysia boleh mempelajarinya dari rakyat Australia, Najib berkata rakyat Malaysia perlu berusaha untuk mendapatkan pendidikan seimbang.

"Jangan habiskan sepanjang masa anda untuk belajar. Ambil bahagian dalam kegiatan kampus terutama sukan.

"Rakyat Australia sangat prihatin dengan kesihatan; saya lihat mereka berlari, berjalan dan bersenam setiap hari. Badan yang sihat sangat penting.

"Mereka juga sangat prihatin mengenai makanan yang mereka makan. Mereka mengelakkan makanan berminyak dan gula," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain