suria

Jerman Minat Bekerjasama Dengan Malaysia Kekang Pembalakan Haram

FRANKFURT: Kerajaan Jerman kini giat untuk mengekang penebangan pokok secara haram di negara-negara tropika, dan sanggup bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Malaysia, untuk menghentikan amalan ini yang disifatkan sebagai membahayakan alam sekitar.

Kerajaan Jerman telah pun menempatkan Undang-undang Perlindungan Perdagangan Perkayuan selepas Presiden Persekutuan Christian Wulff memeterai rang undang-undang yang dikemukakan oleh Menteri Pertanian Ilse Aigner terhadap penebangan secara haram.

"Ini adalah langkah pertama ke arah memerangi penebangan balak secara haram seluruh dunia dan pemusnahan hutan tropika.

"Langkah kedua akan disusuli dengan pelaksanaan ordinan perdagangan pembalakan dalam tahun 2013. Pemusnahan hutan seluruh dunia boleh dihentikan hanya jika ada undang-undang dan penggunaan mampan hutan di semua negara," kata Aigner baru-baru ini di Berlin.

Sementara itu, undang-undang terbaru yang diperkenalkan oleh Jerman menghendaki kawalan kebangsaan ke atas import kayu daripada negara yang telah memuktamadkan perjanjian kerjasama dengan Kesatuan Eropah terhadap penebangan pokok secara haram.

Setakat ini, perjanjian seumpama itu telah dirundingkan dengan enam negara tropika (Ghana, Republik Congo, Republik Cameroon, Republik Afrika Tengah, Indonesia dan Liberia).

Dengan negara-negara seterusnya seperti Malaysia, Suruhanjaya EU pada masa ini sedang mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan sebuah perjanjian.

Di bawah perjanjian itu, negara-negara rakan akan menubuhkan satu sistem permit dan lesen untuk memastikan hanya kayu ditebang secara sah dieksportkan ke Kesatuan Eropah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain