suria

Kesilapan Juruterbang Dikenalpasti Punca Nahas Pesawat Air France 2009

PARIS: Nahas udara pesawat Air France pada tahun 2009 yang mengorbankan 228 penumpang dan anak kapal dikenalpasti berpunca daripada kesilapan juruterbangnya.

Para penyiasat membuat kesimpulan itu hasil daripada beberapa penemuan teknikal yang memperlihatkan juruterbang pesawat malang itu telah melakukan beberapa siri kesilapan ketika dalam penerbangan malam dari Rio (Brazil) ke Paris pada 1 Jun 2009.

Sebahagian daripada kesilapan yang mereka lakukan itu adalah disebabkan oleh kekurangan latihan, kata para penyiasat pada Jumaat.

Menurut laporan yang disediakan oleh pasukan penyiasat nahas itu, para juruterbang gagal untuk bertindak secara tepat dan betul apabila pesawat Airbus itu kehilangan altitut sejurus selepas sensor kelajuannya beku dan gagal berfungsi.

Kekurangan latihan dalam menghadapi situasi seperti itu telah menjejaskan tindak balas juruterbang terhadap masalah sensor pesawat berkenaan, kata Biro Analisis dan Penyiasatan Penerbangan Awam Perancis atau BEA.

Juruterbang berkenaan kata laporan BEA gagal mengesan secara formal kehilangan altitut yang sedang dialami oleh pesawat mereka walaupun tanda isyarat telah berbunyi selama lebih seminit.

Bagaimanapun Air France dalam reaksi segera pantas mempertahankan para juruterbang mereka dengan berkata, sistem isyarat kejatuhan altitut tidak berfungsi menyebabkan juruterbang pesawat berkenaan tidak menyedari yang mereka sedang kehilangan altitut.

Ekoran kejadian itu, Air France telah menukar sistem penggera altitut dalam semua pesawat mereka.

BEA telah mengambil masa lebih dua tahun untuk mengenalpasti tempat pesawat itu terhempas dengan tepat serta menemui kotak hitam yang mengandungi rakaman perbualan kokpit.

Pasukan penyelamat berjaya menemui 50 mayat mangsa pada hari kejadian dan pada tahun ini berjaya menemui 104 rangka mangsa lagi tetapi lebih 70 mayat penumpang lagi gagal ditemui.

Artikel Sebelum

Artikel Lain