suria

40 Orang Terkaya Singapura Miliki Aset Bernilai US$54 Bilion

SINGAPURA: Empat puluh orang paling kaya di Singapura kini secara terkumpul memiliki aset bernilai US$54.4 bilion (US$1=RM2.91), meningkat US$8.7 bilion, atau 19 peratus berbanding tahun lepas, menurut senarai orang paling kaya oleh Forbes Asia.

Kekayaan mereka meningkat meskipun kedudukan ekonomi dan pasaran saham yang lemah.

Keluarga mendiang Ng Teng Fong kekal sebagai orang paling kaya dengan harta bernilai US$8.9 bilion, meningkat US$1 bilion berbanding tahun lepas. Kekayaan ini berkaitan pemegangan dua harta Far East Organization milik persendirian dan Tsim Sha Tsui Properties yang disenarai di Hong Kong.

Keluarga mendiang Khoo Teck Puat pula menduduki tempat kedua dengan US$6.7 bilion, meningkat sebanyak US$800 juta berbanding tahun lepas.

Mereka mengekalkan kepentingan dalam Goodwood Group of Hotels. Pada 2006, mereka menjual kepentingan dalam Standard Chartered Bank membabitkan kira-kira US$4 bilion kepada Temasek, syarikat pelaburan kerajaan Singapura.

Di tempat ketiga ialah pemilik bank veteran, Wee Cho Yaw menerusi harta bernilai US$4.2 bilion, peningkatan US$600 juta berbanding tahun lepas. Beliau mempengerusikan United Overseas Bank yang diasaskan oleh mendiang bapanya.

Terdapat seramai 13 jutawan dalam senarai tahun ini berbanding 11 orang tahun lepas.

Dua pendapatan baharu itu ialah keluarga Lien dan Sam Goi.

Sam Goi menduduki tempat ke-12 dengan aset bersih bernilai US$1.2 bilion.

Jutawan makanan berusia 62 tahun itu popular dengan gelaran "Popiah King" Singapura.

Seorang lagi pendatang baharu ialah peniaga minyak, Lim Oon Kuin yang mengasaskan Hin Leong ketika berusia 20 tahun dan memajukannya sebagai antara pedagang minyak bebas terbesar di Singapura.

Lim, 67, menduduki ranking ke-16 dengan aset bernilai US$840 juta.

Secara keseluruhan, 31 orang dalam senarai itu semakin kaya, termasuk pengusaha hotel Koh Wee Meng of Fragrance Group.

Koh melonjak 10 anak tangga kepada kedudukan ke-14 apabila aset bersihnya meningkat lebih daripada dua setengah kali ganda hasil daripada pasaran hartanah yang rancak serta kemasukan pelancong.

Aset beliau kini bernilai US$920 juta berbanding US$335 juta sebelumnya.

Turut menikmati lonjakan besar peratusan ialah Ong Beng Seng dan isterinya, Christina. Kekayaan mereka hampir meningkat sekali ganda kepada $1.9 bilion apabila saham mereka dalam syarikat fesyen UK, Mulberry, meningkat. Mereka kini menduduki tempat ketujuh berbanding 11 sebelum ini.

Kwek Leng Kee ditempat ke-19 dengan aset bernilai US$680 juta, berbanding $515 juta sebelumnya.

Kwek Leng Peck pula di tangga ke-29 dengan aset bernilai US$380 juta, meningkat berbanding US$250 juta pada 2010.

Ditangga ke-37 ialah Mustaq Ahmad yang kembali disenarai selepas dua tahun.

Lelaki berusia 60 tahun itu yang mempunyai aset bernilai US$240 juta, memiliki Pusat Peruncitan Mustafa yang popular, dan beroperasi 24 jam. Kedainya menarik pelancong dari negara asalnya, India. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain