suria

PBB Minta Dana Negara Arab Atasi Kebuluran Afrika

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pada Selasa menyeru pemimpin Arab Saudi, Kuwait dan Qatar memberi sumbangan kewangan untuk menentang masalah kebuluran di timur Afrika.

Ban menggesa Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah dari Kuwait dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassem Al-Thani memberi sumbangan untuk rakyat negara Afrika yang kebuluran, demikian menurut kenyataan PBB.

Beliau juga meminta Menteri Luar Negara Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Abdullah Zayed Al-Nahayan memberi jawapan terhadap rayuan PBB untuk mendapatkan dana bagi tujuan tersebut.

Kira-kira 3.7 juta orang atau satu pertiga penduduk Somalia menghadapi masalah kebuluran.

Berjuta orang lagi di Djibouti, Ethiopia, Kenya dan Uganda berhadapan dengan masalah kemarau yang terburuk di timur Afrika dalam tempoh 60 tahun.

Pihak rasmi PBB pada Isnin berkata bahawa badan itu menerima sejumlah RM3 bilion sejak pertama kali membuat rayuan dana untuk rantau Afrika itu pada November 2010 namun memerlukan RM3 bilion lagi sebelum hujung tahun ini untuk menangani kes kecemasan tersebut. -AFP

Artikel Lain