suria

Kadeer Bimbang Nasib Etnik Uighur Yang Ditahan

WASHINGTON: Seorang pemimpin etnik minoriti Uighur yang hidup dalam buangan menyatakan kebimbangannya mengenai keselamatan puluhan penunjuk perasaan yang cedera sebelum ditahan dalam satu pertempuran dengan polis di Xinjiang, China.

Presiden Kongres Uighur Dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Rebiya Kadeer berkata sekurang-kurangnya 70 etnik Uighur dipindahkan dari hospital awam ke hospital tentera selepas peristiwa keganasan pada 18 Julai di kawasan terpencil, Hotan.

"Mereka memindahkan semua mangsa ke hospital tentera. Hakikatnya etnik Uighur yang dibawa ke sana tidak akan dibebaskan hidup-hidup," kata Kadeer dalam satu temu bual bersama AFP.

Kadeer berkata etnik Uighur telah membuat aduan sekian lamanya mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, mereka yang ditahan di penjara itu akan dibunuh bagi mendapatkan organ mereka, seperti yang didakwa pihak aktivis sebelum ini.

Media tempatan melaporkan seramai 18 orang terbunuh dalam satu kejadian berdekatan balai polis Honan dan menyifatkan kejadian itu sebagai serangan "pengganas".

Kadeer menyangkal laporan itu sebaliknya mendakwa jumlah kematian sebenarnya jauh lebih tinggi.

Seorang jurucakap berkata, seramai 20 etnik Uighur terbunuh dalam peristiwa itu.

Katanya, sekumpulan etnik Uighur datang ke balai polis untuk mengetahui perkembangan ahli keluarga mereka yang hilang.

Beliau menyokong tindakan itu dan tidak menganggap ia sebagai keganasan.

"Tentunya saya menentang keganasan namun dalam kes ini, polis yang terlebih dahulu menyerang mereka.

"Mereka hanya bertindak untuk mempertahankan diri sendiri...malah mereka ada hak untuk mengetahui nasib orang yang disayangi," ujarnya. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain