suria

Masjid Di UK Diminta Ambil Langkah Berjaga-jaga

LONDON: Masjid-masjid di seluruh United Kingdom (UK) akan mengambil tindakan berwaspada ekoran peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Norway, demikian menurut pemimpin masyarakat Islam di negara ini.

Ketua Ramadhan Foundation, Mohammed Shafiq berkata, masjid-masjid akan diberikan kawalan keselamatan yang lebih ketat kerana suspek serangan di Norway dikatakan seorang yang membantah keras kehadiran masyarakat Islam ke Eropah.

Shafiq memberitahu pemberita bahawa beliau telah memaklumkan kepada para pemimpin masyarakat Islam di negara Eropah yang lain tentang pentingnya meningkatkan langkah kawalan di kawasan mereka.

"Kami bimbang sekiranya kawasan ibadah kami sasaran yang seterusnya jadi kami meminta orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga dan akan ada kawalan yang lebih ketat di masjid-masjid," katanya.

Menurutnya lagi, satu kepala khinzir telah diletakkan di luar sebuah masjid di Oxford.

Polis Norway setakat ini tidak mengesahkan sebuah manifesto di internet yang membangkang kemasukan masyarakat Islam ke Eropah adalah ditulis oleh suspek serangan di Norway, iaitu Anders Behring Breivik namun peguam suspek memberitahu Breivik telah menghasilkan manifesto itu sejak beberapa tahun lalu.

Seramai tujuh orang awam terbunuh dalam satu serangan bom di luar bangunan ibu pejabat Kerajaan Norway manakala 86 orang lagi disahkan terkorban beberapa jam kemudian apabila suspek melepaskan tembakan dari jarak dekat ke atas mangsa-mangsa di sebuah pulau yang menempatkan kem sayap remaja Parti Buruh yang memerintah Norway. -AP

Artikel Sebelum

Artikel Lain