suria

Israel Tarik Balik Kemudahan Belajar Dalam Penjara

SEMENANJUNG GAZA: Pentadbiran Penjara Israel telah memutuskan untuk menghentikan program pendidikan tinggi bagi ribuan banduan Palestin yang meringkuk dalam penjara negara itu.

Membantah langkah itu, para banduan kini dilaporkan sedang mengada mogok lapar.

Keputusan itu adalah berikutan pengumuman Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebulan lalu bahawa Israel berhak mengurangkan kemudahan yang diberikan kepada banduan-banduan berkenaan.

Nampaknya usaha itu adalah cubaan untuk memberi tekanan kepada Palestin agar membebaskan askar Israel, Jilad Shalit, yang ditangkap oleh militan Palestin dalam serbuan di pos sempadan tentera Israel pada 2006.

Menurut Pusat Banduan Palestin, lebih 300 banduan tidak akan dibenarkan meneruskan pengajian mereka untuk memperoleh ijazah.

Pusat itu juga melaporkan bahawa pegawai penjara Israel telah merampas buku dan kertas akademik yang diberikan menerusi pertubuhan Palang Merah Antarabangsa.

Pusat berkenaan juga membayangkan bahawa pihak pentadbiran Israel turut menghalang banduan-banduan yang menyambung belajar daripada memohon untuk belajar di universiti di negara-negara Arab dan Palestin.

Membidas keputusan itu, keluarga banduan Palestin menyifatkan tindakan Israel sebagai tidak berperikemanusiaan dan mengadakan mogok dengan duduk di hadapan ibu pejabat Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa.

Aum Rami, yang anaknya Rami Sulaiman dipenjarakan sejak 2002, amat kecewa dengan tindakan Israel itu.

Anak lelakinya itu bakal mendapatkan ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan sivil.

Beliau percaya pendidikan dapat memberi harapan kepada anaknya itu walaupun berada dalam penjara selama sembilan tahun.

"Pendidikan merupakan satu-satunya yang menyenangkan hatinya. Dia dan kawan-kawannya dilayan seperti haiwan tetapi Allah tidak melupakan mereka," katanya kepada Bernama.

Pusat Hak Asasi Manusia Palestin (PCHR) turut membidas keputusan itu dan menggesa komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada pihak berkuasa Israel supaya akur dengan undang-undang antarabangsa dan menghentikan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap lebih 6,000 banduan Palestin di penjara Israel. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain