suria

Asean Perlu Teroka Industri Makanan Halal Dunia, Kata Setiausaha Agung Asean

HAT YAI: Negara anggota Asean perlu meneroka potensi luas industri makanan halal dunia berdasarkan status ekonomi yang semakin meningkat di negara Islam, kata Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan.

"Peningkatan penduduk berpendapatan sederhana membuka peluang kepada negara Asean untuk menguasai industri ini memandangkan pasaran halal dunia bernilai US$25 trilion setahun.

"Lebih separuh daripada 600 juta penduduk di rantau ini terdiri daripada masyarakat Islam dan oleh itu kita berada pada kedudukan yang baik untuk mengeluarkan makanan halal.

"Negara Asean juga terkenal sebagai dapur dunia," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Dunia Halal Sains, Industri dan Perniagaan 2011 di sini Khamis.

Sementara itu, Dr Nor Azman Ngah, Pengurus Besar Perkhidmatan Sokongan Pelabur, Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd, memberitahu pemberita bahawa setiap negara perlu mencari kekuatan dan menyelaraskan keupayaan masing-masing dalam industri halal.

"Negara Asean juga wajar menggunakan sepenuhnya peluang usaha sama antara mereka untuk memperoleh ekonomi yang menguntungkan dari segi kos dalam pengeluaran untuk bersaing dalam pasaran global," katanya.

Mengenai potensi untuk Malaysia meneroka industri ini, beliau berkata banyak peluang untuk meluaskan perdagangan dan pelaburan produk halal dalam Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).

"Menerusi AFTA, kita boleh membuat pelaburan berbalik seperti Indonesia, Laos dan Kemboja dengan mengambil kesempatan ke atas kos pengeluaran, tenaga kerja yang rendah serta pasaran yang lebih besar," katanya.

Beliau juga berkata keluaran pelaburan berbalik boleh dipasarkan di peringkat domestik, dieksport semula ke negara Asean dan negara dunia ketiga seperti Timur Tengah dan Asia Utara.

Dr Nor Azman berkata AFTA pastinya akan membawa jumlah besar produk halal dari negara Asean ke Malaysia dan sebaliknya.

Beliau yakin Malaysia tidak sukar untuk menembusi pasaran Islam Asean memandangkan ia mempunyai kredibilti tinggi dalam industri halal. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain