suria

Taikun Media Kontroversi Rupert Murdoch Ingin Lepaskan Jawatan Lebih Setahun Lalu

WASHINGTON: Taikun media yang kini sedang dilanda kontroversi, Rupert Murdoch dilaporkan telah merancang untuk bersara lebih setahun yang lalu dari, demikian menurut akhbar kewangan, The Wall Street Journal (WSJ) dalam terbitan Isnin.

"Sebelum skandal yang membabitkan penerbitannya di England menjadi isu besar, Murdoch sememangnya telah merancang untuk melepaskan jawatan sebagai CEO News Corp dan berhasrat untuk menyerahkan pentadbiran urusan harian empayarnya kepada Ketua Pegawai Operasi, Chase Carey," kata WSJ memetik beberapa sumber yang rapat dengan Murdoch.

Empayar media Murdoch kini menjadi perhatian dunia selepas beberapa siri tangkapan yang melibatkan bekas-bekas pengarang kanan dan ketua pegawai eksekutif akhbar mingguan paling popular Britain, News of The World dilakukan oleh Polis Metropolitan London minggu lalu.

Skandal itu melibatkan beberapa siri pengintipan dan pengodaman telefon bimbit selebriti, mangsa pembunuhan dan penculikan, bekas-bekas anggota tentera yang berkhidmat di Iraq dan Afghanistan serta pengodaman ke atas telefon bimbit keluarga diraja Britain.

Kes tersebut turut mengheret kepimpinan polis metropolitan London yang menyaksikan pesuruhjayanya, Paul Stephenson meletakkan jawatan atas dakwaan, pegawai-pegawai polis di bawah pengurusannya menerima rasuah daripada wartawan-wartawan News of The World, gagal bertindak pantas menyiasat skandal pengodaman telefon itu dan yang paling hangat ialah kerana polis London mengambil bekas pengarang eksekutif News of The World sebagai konsultan media.

Beberapa hari sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Murdoch di United Kingdom, Rebekah Brooks, 43, turut meletakkan jawatannya ekoran tekanan daripada skandal tersebut.

Murdoch yang kini berusia 80 tahun adalah warganegara Australia manakala anaknya James, 38, yang dilihat sebagai pengganti bapanya adalah warga Amerika.

Kedua-duanya telah dipanggil mengadap satu jawatankuasa khas parlimen England mengenai media pada Selasa untuk menjawab tuduhan-tuduhan ke atas akhbar mereka.

Adalah dianggarkan, akhbar News of the World, yang berusia 168 tahun tetapi telah ditutup oleh Murdoch 17 Julai lalu ekoran skandal ini dipercayai telah menggodam lebih 4,000 peti suara telefon bimbit pelbagai selebriti, ahli politik, mangsa jenayah dan ramai lagi dalam usaha mereka mendapatkan maklumat untuk penulisan berita mereka.

Artikel Lain