suria

Wartawan Terkenal Piers Morgan Marah Namanya Dikaitkan Dengan Skandal Penggodaman Telefon Bimbit

LOS ANGELES: Wartawan terkenal dan bekas pengarang akhbar tabloid British, Piers Morgan menuntut seorang ahli parlimen Britain memohon maaf kerana menuduhnya sebagai orang yang mempelopori budaya menggodam telefon bimbit untuk mendapatkan bahan berita.

Morgan, yang kini berkhidmat dengan stesen berita CNN di Amerika Syarikat dalam nada yang marah muncul dalam rancangan televisyen dan mencabar ahli parlimen Louise Mensch supaya mengulangi dakwaannya itu di luar dewan.

Mensch ketika siasatan oleh Jawatankuasa Parlimen Mengenai Media pada Selasa yang menyoalsiasat pemilik akhbar News of The World, Rupert Murdoch kerana menggodam telefon bimbit begitu ramai selebriti, ahli politik, keluarga diraja dan mangsa pembunuhan dalam usaha mereka untuk memperolehi bahan berita mendakwa, Morgan telah mempelopori dan mengalakkan budaya penggodaman telefon bimbit di dalam sebuah buku yang ditulisnya ketika memimpin beberapa akhbar tabloid sebelum ini.

Bagaimanapun Mensch enggan mengulangi dakwaannya itu di luar parlimen sebagaimana yang dituntut Morgan.

Ahli Parlimen Britain dilindungi oleh imuniti dewan di bawah hak keistimewaan parlimen dan boleh berhujah tanpa boleh didakwa oleh sesiapapun selagi ucapan atau kenyataan mereka tidak dilakukan di luar dewan.

Morgan, yang merupakan bekas pengarang the Mirror dan News of the World, bagaimanapun berhujah bahawa dia tidak pernah berkata mengenai pengodaman telefon dalam bukunya yang berjudul “The Insider: The Private Diaries of a Scandalous Decade" yang diterbitkan pada tahun 2005.

"Saya berasa sangat lucu dengan sikap pengecutnya (Mensch) yang tidak berani mengulangi kenyataannya itu di luar dewan,” ujar Morgan.

Kata Morgan lagi, amat jelas sekali Mensch melakukan pembohongan ketika berlangsungnya prosiding mengenai skandal penggodaman telefon bimbit News of The World kerana tidak ada pada mana-mana bahagian pun dalam bukunya yang beliau menggalakkan penggunaan taktik penggodaman telefon sebagai satu cara untuk mendapatkan berita.

"Dan untuk rekod, sewaktu saya berkhidmat di kedua-dua akhbar tersebut, saya tidak pernah menggodam mana-mana telefon bimbit atau mengarahkan sesiapapun agar menggodam telefon bimbit atau menerbitkan mana-mana berita yang diperolehi hasil daripada penggodaman telefon," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain