suria

Jepun Tangguh Jual Peralatan Nuklear

TOKYO: Kerajaan Jepun membuat keputusan untuk menangguhkan perbincangan dengan India dan empat negara lain dalam satu kerjasama tenaga nuklear berikutan satu pengisytiharan oleh Perdana Menteri, Naoto Kan yang mengumumkan bahawa Jepun akan berhenti menghasilkan tenaga nuklear, demikian lapor media tempatan.

Agensi berita Kyodo memetik satu sumber rasmi sebagai berkata, sebarang tindakan dalam meneruskan perbincangan tersebut adalah bercanggah dengan polisi yang dilaksanakan Perdana Menteri Jepun itu.

Laporan itu berkata bahawa kerajaan Jepun akan menggantung perbincangan dengan India, Brazil, Afrika Selatan, Turki dan Emiriah Arab Bersatu dalam penjualan kelengkapan teknologi dan kuasa nuklear buatan Jepun.

Keputusan Naoto Kan itu memberi kesan kepada perbincangan untuk mengakhiri perjanjian kerjasama yang berasingan berkaitan kuasa nuklear dengan negara-negara tersebut.

Rundingan dengan lima negara tersebut telah dilengah-lengahkan sejak gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac lalu telah menyebabkan berlakunya krisis nuklear di loji nuklear Fukushima Daichi.

Sumber rasmi juga berkata bahawa kerajaan tidak akan mengadakan mana-mana perbincangan khas dengan kelima-lima negara tersebut dalam usaha mendapatkan persetujuan untuk menyiapkan rundingan itu tanpa persetujuan Kan.

Kementerian yang terlibat dalam menjalin perjanjian tersebut termasuk Kementerian Industri dan Kementerian Luar negara terpakasa menunggu Kan meletak jawatan jika ingin meneruskan usahasama itu. -BERNAMA

Artikel Lain