suria

15 Terbunuh Di Karachi Dalam Keganasan Etnik

KARACHI: Kerajaan Pakistan telah mengarahkan beratus anggota keselamatan ke jalan-jalan raya di sekitar bandar ini pada Khamis apabila keganasan etnik dan politik telah menyebabkan 15 orang terkorban.

"Kita telah mengerahkan 500 anggota keselamatan ke bandar Karachi," kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik kepada para pemberita di Islamabad iaitu ibu negara Pakistan.

Keganasan terbaru ini tercetus hanya lima hari selepas Malik mendakwa kerajaan telah berjaya memulihkan keadaan di bandar ini yang mana sebelum itu telah menyaksikan 95 orang terbunuh akibat perbalahan antara etnik.

Ia adalah perbalahan antara etnik yang terburuk sejak tahun 1995.

Situasi ini juga telah memaksa Bursa Saham Karachi ditutup awal.

Keganasan dikatakan meletus apabila seorang menteri wilayah Sindh Zulfiqar Mirza, daripada parti yang memerintah Pakistan People's Party, mengkritik bekas anggota pakatan dalam kerajaan, Muttahida Qaumi Movement (MQM) dan pemimpin dalam buangannya, Altaf Hussain.

Pada dasarnya perbalahan etnik di bandar ini banyak berkisar dengan penduduk asal Sindh yang bertutur bahasa Urdu dengan etnik Pashtun yang berasal dari Utara Pakistan yang lebih dekat dari segi pertalian darah dengan bangsa Afghan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain