suria

Bom Buatan Sendiri Meletup: Polis Indonesia Kepung Madrasah di Nusa Tenggara

MATARAM: Pihak berkuasa Indonesia kini sedang mengepung sebuah kawasan persekolahan agama di bandar Bima, Nusa Tenggara Barat selepas sebuah bom yang dipercayai buatan sendir meletup dan membunuh seorang mangsa.

Pengepungan tersebut telah memasuki hari ketiga.

Polis mengesyaki sekolah itu ada kaitan dengan Abu Bakar Bashir, yang baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana didakwa menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas yang menyerang tempat-tempat yang ada kaitan dengan pusat tumpuan pelancong asing serta kerajaan.

Pasukan keselamatan mula mengepung sekolah agama itu pada lewat Isnin selepas sebuah bom yang dipercayai buatan sendiri meletup lalu membunuh seorang lelaki yang dipercayai berbangsa Filipina di dalam salah sebuah bilik.

Lelaki itu dipercayai pakar membuat bom dan media-media tempatan telah memetik sumber-sumber polis sebagai berkata, dia telah menggunakan pengetahuannya itu untuk mengajar para pelajar bagaimana hendak membuat bom.

Malangnya, bom itu meletup ketika dia sedang menunjukkan cara-cara untuk memasang dan meletupkannya.

Selepas letupan itu, beratus pelajar dan guru dilihat telah mengawal premis sekolah berkenaan dengan bersenjatakan pisau dan pedang malah telah meletakkan halangan di pintu masuk utama sekolah berkenaan.

Malah mereka telah menghalang dan tidak membenarkan pihak polis serta tentera daripada memasuki premis berkenaan untuk memeriksa apa yang telah terjadi.

"Kami telah cuba untuk memasuki premis sekolah berkenaan dengan menggunakan pelbagai cara tetapi para pelajar sekolah berkenaan bukan sahaja tidak membenarkan kami masuk malah meletakkan halangan di hadapan pintu masuk," kata jurucakap polis wilayah berkenaan, Sukarman Husein kepada agensi berita AFP.

"Sekiranya melalui cara pujukan juga tidak berhasil, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan lain melainkan memasuki kawasan tersebut secara paksa," tegasnya lagi.

Lebih 200 anggota polis dan tentera telah dikerahkan ke kawasan kejadian tetapi menjarakkan diri mereka daripada kumpulan pelajar sekolah berkenaan yang mengawal kawasan menggunakan pisau dan juga parang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain