suria

Abhisit Sertai Jutaan Rakyat Thailand Membuang Undi

BANGKOK: Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva menyertai jutaan rakyat Thailand membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-26 negara itu, Ahad.

Abhisit membuang undi di pusat pengundian Sekolah Sawasdee Wittayu di sini pada kira-kira 10 pagi.

Adik bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, Yingluck yang merupakan calon Perdana Menteri parti pembangkang Pheu Thai, mengundi di Sekolah Klong Lamjiak pada 8 pagi.

Sejumlah 47,321,136 rakyat layak mengundi bagi mengisi 500 kerusi Parlimen Thailand untuk tempoh empat tahun.

Mereka akan mengundi bagi 375 Anggota Parlimen kawasan manakala 125 lagi dipilih berdasarkan senarai parti, mengikut jumlah undi yang diterima setiap 40 parti bertanding.

Pembuangan undi di 90,854 pusat berakhir pukul 3 petang (waktu Malaysia: 4 petang).

Proses pengiraan akan berlangsung di pusat pembuangan undi dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Apichart Sukhagganond menjangka ia selesai selewat-lewatnya 6 petang.

Keputusan tidak rasmi dijangka diketahui menjelang 10 malam.

Ketua Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Suthiphon Thaveechaiygarn berkata Polis Diraja Thailand bertanggungjawab melaporkan keputusan tidak rasmi dari setiap pusat pengundian di seluruh negara dan menyerahkannya kepada suruhanjaya berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mempunyai tempoh sehingga 2 Ogos ini bagi mengesahkan keputusan pilihan raya tersebut.

Secara keseluruhan, proses pengundian yang dikendalikan lebih 1.2 juta pegawai pilihan raya berjalan lancar.

Pilihan Raya Umum 2007 merekodkan sejumlah 74.5 peratus atau 32.7 juta rakyat Thailand keluar mengundi.

Rakyat Thailand sedang memerhati dengan teliti perkembangan selepas keputusan rasmi diumumkan, kerana mereka bimbang terdapat kemungkinan berlaku ketidaktentuan dan keadaan huru-hara sebelum kerajaan baru dibentuk.

Menteri Pertahanan Prawit Wongsuwon pada Ahad menyeru rakyat berhenti menyebarkan khabar angin berhubung kemungkinan berlakunya rampasan kuasa.

Panglima Angkatan Tentera Thailand Jeneral Prayuth Chan-ocha telah berikrar sebelum ini bahawa pihaknya tidak akan melancarkan kudeta, meskipun pembangkang memimpin kerajaan baru. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain