suria

Pakar Bedah Otak Malaysia Mengaku Ketagih Seks Dan Dadah

MELBOURNE: Seorang pakar bedah saraf Malaysia memberitahu sebuah mahkamah Sydney minggu ini bahawa beliau menyedari masalah ketagihan seks dan dadahnya "menjadi semakin tidak terkawal" apabila seorang pelacur berusia 22 tahun Victoria McIntyre, meninggal dunia akibat mengambil terlalu banyak kokain di pangsapurinya di Sydney pada Februari 2009.

"Saya telah membuat kesilapan besar dan semuanya menjadi langsung tidak terkawal.

"Terdapat sebahagian daripada diri saya yang menyedari bahawa keadaan sudah tidak dapat lagi dikawal...tapi ada sebahagian lagi daripada diri saya yang memilih untuk mengenepikan sifat rasional yang terdapat pada minda saya," kata Suresh Nair, 43, kepada Mahkamah Daerah Downing Centre, Sydney pada Khamis lalu yang dipetik oleh akhbar "The Australian".

Seorang lagi pelacur Suellen Domingues-Zaupa, 23, meninggal dunia dalam keadaan serupa sembilan bulan kemudian iaitu pada November 2009.

Suresh berkata kepada Hakim Robert Toner, "sekiranya saya menangani keadaan dengan cara berbeza dan bersikap jujur pada diri sendiri, saya amat yakin tiada perkara buruk akan berlaku terhadap Suellen." Dalam laporannya, akhbar The Sydney Daily Telegraph berkata bekas rakan sekerja Suresh, yang juga pakar bedah saraf terkenal Charlie Teo, menyatakan, sebelum ini, Suresh memiliki perangai yang amat terpuji.

Dr Teo memberitahu mahkamah bahawa beliau amat mengagumi Suresh walaupun bekas rakan sekerjanya itu menghadapi tuduhan berkenaan.

Beliau berkata setelah dua kali melawat Suresh di penjara, beliau dapati rakannya itu "amat menyesali dengan apa yang telah berlaku". Dr Teo berkata walupun Suresh memiliki "sifat sosial yang pelik", tetapi tanggungjawab dan kepakarannya dalam menjaga pesakit amat mengagumkan.

Suresh mengaku bersalah terhadap tuduhan membunuh Domingues-Zaupa dan menjadi pembekal dadah yng mempunyai kaitan dengan kematian McIntyre. Suresh digantung tugas oleh Lembaga Perubatan New South Wales dan menunggu masa untuk dibatalkan pendaftarannya setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan membunuh Domingues-Zaupa dan dua tuduhan lain berkaitan dadah, satu daripadanya mempunyai kaitan dengan kematian McIntyre.

Sejak ditahan di penjara 18 bulan lepas, Suresh sering menjadi mangsa serangan hingga mengalami kerosakan penglihatan.

Dia juga berdepan dengan tindakan dihantar pulang ke Malaysia kerana tidak mempunyai taraf kerakyatan Australia, walaupun telah berhijrah ke sini sejak 1980 ketika berusia 11 tahun. Mahkamah akan menjatuhi hukuman terhadap Suresh pada 12 Ogos ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain