suria

Astana Sambut Ulang Tahun Ke-13 Sebagai Ibu Negara Kazakhstan

ASTANA (KAZAKHSTAN): Usia Astana baru setahun jagung, namun bandar raya yang pesat membangun ini meraih tumpuan apabila Kazakhstan dipilih sebagai pengerusi baru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Merupakan ibu negara Republik Kazakhstan sejak 1997, Astana yang terletak di tebing Sungai Ishim akan menyambut ulang tahun ke-13 sebagai ibu kota negara itu pada 6 Julai ini yang telah diisytihar sebagai cuti umum.

Dikelilingi daratan, Kazakhstan yang terletak di Laluan Sutera menghubungkan Timur dan Barat merupakan negara kesembilan terbesar di dunia dengan keluasan lebih 2.9 juta km persegi.

Negara yang majoriti penduduknya beragama Islam ini memperolehi kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada Disember 1991. Enam tahun kemudian, ibu negaranya dipindahkan dari Almaty ke Astana.

Di bawah kepimpinan Presiden Nursultan Nazarbayez, Kazakhstan pesat membangun dengan kedudukan ekonomi yang teguh. Memetik laporan Astana Times - satu-satunya akhbar berbahasa Inggeris di negara itu - acara kemuncak sambutan Hari Ibu Negara itu ialah konsert 'Astana Bayt Mekeni' yang akan diadakan di hadapan tugu Kazakh Eli.

Menyorot sejarah Kazakhstan, bandar Akmolinsk mendapat status kota raya pada 1862. Ia terkenal kerana perdagangannya dan menjadi tumpuan pedagang dari seluruh Kazakhstan, Rusia dan negara di bahagian tengah Asia.

Apabila pembangunannya bermula, bandar itu diberi nama baru, Tselinograd, dan menjadi pusat pentadbiran bagi kawasan pertanian.

Sejak memperolehi status bandar raya, ia bertukar wajah dan dipenuhi bangunan menarik dengan rekaan yang unik, menggabungkan seni bina moden dan oriental.

Menara Baiterek yang setinggi 105 meter menjadi simbol bandar raya ini dan daya tarikan pelancong yang tidak melepaskan peluang melihat pemandangan bandar raya dari pelantar tinjau yang terletak pada ketinggian 97 meter menara itu.

Astana menjadi salah sebuah pusat perniagaan terbesar di rantau ini. Semua organisasi kerajaan, 44 pejabat kedutaan dan 113 pusat perniagaan asing ditempatkan di sini.

Setiap tahun bandar raya ini menganjurkan pelbagai pameran industri antarabangsa, persidangan, pertandingan muzik dan festival kebudayaan Kazakhstan.

Pada 1999, Astana diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai Bandar Raya Dunia.

Monumen yang ada di bandar raya ini merupakan ingatan daripada sejarahnya yang sangat dihargai rakyat Kazakhstan.

Antara tarikan di Astana ialah taman etno 'Peta Kazakhstan - Atameken' iaitu muzium terbuka yang unik. Ia meliputi kawasan seluas 1.7 hektar yang menempatkan replika bandar-bandar dan tugu peringatan bersejarah Kazakhstan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain