suria

Beratus Spesies Baru Dijumpai Di Kepulauan Filipina

MANILA:Sebuah kumpulan penyelidikan dari Amerika Syarikat, California Academy of Sciences berkata mereka menjumpai lebih daripada 300 jenis flora dan fauna yang tidak diketahui sebelum ini sepanjang penyelidikan selama 42 hari di kepulauan Asia Tenggara.

"Filipina merupakan salah satu kawasan penting yang mempunyai pelbagai spesis hidupan yang terancam," kata ketua ekspidisi, Terrence Gosliner dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web akademi tersebut.

"Biodiversiti yang terdapat di sini masih tidak diketahui sebelum ini dan kami menjumpai spesies baru hampir setiap kali kami menyelidik kawasan terumbu karang, hutan hujan, dan dasar laut.'

Antara penemuan mereka yang mendapat perhatian adalah ikan yu laut dalam yang mengembungkan badannya dengan air untuk menakutkan pemangsa lain dan tapak sulaiman yang hanya memakan kayu hanyut.

Mereka juga menjumpai tiga spesies ketam dengan penyepit yang dipenuhi dengan gigi seperti jarum dan ikan pipefish berbentuk seperti cacing yang hidup dicelah-celah terumbu karang yang lembut.

Kebanyakan spesies ini tidak dijumpai kerana bersaiz sangat kecil termasuklah lelabah goblin, lintah laut dan teritip, kata kenyataan itu.

Spesies lain pula hidup di kawasan yang jarang atau tidak pernah dijejaki manusia seperti belut ular di dasar lautan dan sejenis tumbuhan primitif yang tumbuh di curam Gunung Isarog yang berketinggian 1,976 meter.

Kenyataan itu merupakan kemaskini daripada satu pengumuman yang dibuat kumpulan tersebut pada 8 Jun dan ia dibuat sejurus selepas mereka mendakwa menjumpai lebih kurang 75 spesies baru termasuklah satu reriang yang berbunyi pelik.

Penemuan tersebut menguatkan lagi andaian bahawa lautan Filipina mempunyai paling banyak spesies hidupan berbanding kawasan marin yang lain di bumi, demikian menurut kenyataan akademi tersebut.

Kumpulan itu menyeru pihak yang melakukan pemuliharaan di Filipina membentuk atau meluaskan lagi kawasan laut yang dilindungi, mengatasi masalah lantai lautan yang dicemari sampah plastik dan benar-benar menghentikan aktiviti penebangan hutan dan pemburuan haram. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain