suria

Anggota Kongres Yang Ditembak Muncul Di Khalayak Buat Pertama Kali

WASHINGTON: Anggota kongres wanita Amerika, Gabrielle Giffords yang lima bulan lalu berhadapan dengan hidup dan mati apabila ditembak di kepala oleh seorang lelaki tidak siuman buat pertama kalinya muncul di hadapan khalayak ramai pada satu majlis, Selasa.

Gabrielle ditembak dari dekat ketika sedang memberikan perkhidmatan kemasyarakatan kepada para pengundinya di Arizona Januari lalu. Enam orang termasuk seorang hakim daerah serta seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terkorban dalam insiden tembakan tersebut.

Gabrielle dilaporkan muncul menggunakan kerusi roda dan mencium suaminya, angkasawan Kapten Mark Kelly sejurus selepas suaminya itu menerima anugerah khas kerana menjadi juruterbang terakhir misi kapal angkasa ulang-alik Endeavour yang telah ditamatkan perkhidmatannya di Johnson Space Center Houston, Texas.

Rambut Gabrielle kelihatan jauh lebih pendek dari gambar terbarunya yang diambil baru-baru ini dan beliau menggenakan cermin mata serta memakai skaf serta jeans dan kasut sneakers.

Beliau kelihatan sangat ceria dan melemparkan senyuman serta dilihat bersembang dengan para tetamu yang lain.

Pada Mac lalu, Jared Loughner, diisytiharkan tidak sihat dari segi mental untuk menghadapi perbicaraan atas tuduhan membunuh dengan segaja.

Para pakar perubatan mengisytiharkan penembak berusia 22 tahun itu mengidap schizophrenic dan tidak mampu mempertahankan dirinya di mahkamah jika prosiding mahkamah dilangsungkan.

Artikel Lain