suria

Pilihan Raya Thailand Bukan Penentu Hidup Mati Abhisit Atau Thaksin

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva berkata pilihan raya umum pada 3 Julai ini bukan merupakan misi hidup atau mati beliau dan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Beliau berkata kepentingan negara adalah jauh lebih penting dari dirinya atau Thaksin.

"Ia merupakan ujian sebenar bukan untuk diri dan karier saya tetapi untuk negara saya. Negara saya adalah jauh penting daripada hanya seorang manusia," katanya dalam temubual eksklusif dengan lima agensi berita antarabangsa dan akhbar di sini.

Agensi berita tersebut ialah Bloomberg, Kyodo dan Bernama sementara dua akhbar berkenaan ialah Asahi Shimbun (Jepun) dan Neue Zurcher Zeitung (Jerman).

Beliau diminta mengulas tentang sesetengah analisis bahawa pilihan raya umum akan datang merupakan misi hidup atau mati Thaksin yang mahu kembali dari buangan diri sendiri dan untuk Abhisit kerana parti Demokrat tidak pernah memerintah Thailand untuk dua penggal berturut-turut.

Kepimpinan Thaksin selama enam tahun berakhir sebelum tempohnya ekoran rampasan kuasa tanpa menumpahkan darah berlaku pada 19 September 2006 dan kini beliau tinggal dalam buangan selepas mahkamah Thailand mendapati beliau bersalah kerana rasuah pada 2008 dan dijatuhi hukuman penjara tanpa kehadirannya, selama dua tahun.

Dengan tinggal hanya 19 hari sebelum hari mengundi, Abhisit mahu 48 juta pengundi meletak kepentingan negara apabila mengundi dan bukan terhadap kelangsungan politik beliau atau Thaksin.

Buat pertama kali, Abhisit menggaris dua faktor yang menyumbang kepada peningkatan populariti parti pembangkang Pheu Thai berbanding partinya iaitu Demokrat seperti yang ditunjukkan oleh kebanyakan pungutan suara.

"Rakyat kecewa dengan kerajaan berhubung kesan global dari kenaikan harga makanan dan penonjolan adik Thaksin, Yingluck sebagai calon Parti Pheu Thai untuk jawatan perdana menteri," katanya.

Beliau berkata kerajaan sedang menangani isu kenaikan harga makanan dan sesetengah pengundi tidak menyedari inisatif kerajaan dalam menangani kesannya termasuk mengawal harga gas memasak.

Secara keseluruhan harga makanan di Thailand naik kira-kira 10 peratus sejak Januari lalu berikutan trend global mengenai permintaan yang tinggi dan penawaran makanan yang berkurangan.

Mengenai peningkatan populariti Yingluck, Abhisit berkata ia merupakan perkara biasa bagi ahli politik yang baru pertama kali menceburi politik mendapat rating yang lebih baik pada peringkat permulaan.

Yingluck, 43, tiga tahun lebih muda dari Abhisit dan merupakan yang termuda dari kalangan sembilan orang adik-beradik Thaksin.

Memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains politik dari Chiangmai University dan berkelulusan Sarjana dalam bidang pentadbiran awam dari Kentucky State University, Yingluck merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan kini merupakan presiden SC Asset Corporation, syarikat pembangunan hartanah.

Berdasarkan pungutan suara, Yingluck dan Parti Pheu Thai telah mengatasi populariti Parti Demokrat sejak kempen pilihan raya bermula kira-kira sebulan lalu dan masih mengekalkan momentum tersebut. Abhisit masih mengekalkan ramalan awal bahawa kedua-dua parti Demokrat dan Pheu Thai akan menang sejumlah 400 kerusi dalam Dewan Perwakilan baru yang mempunyai 500 kerusi.

Beliau meramalkan kedua-dua parti utama tersebut akan berkongsi sama rata 200 kerusi sementara 100 kerusi lagi akan dikongsi oleh parti-parti kecil yang lain.

Namun pemimpin Demokrat mengingatkan bahawa 200 kerusi bagi setiap dua parti utama boleh berubah dari semasa ke semasa dengan pilihan raya semakin hampir.

Parti Demokrat menguasai 172 kerusi sementara Pheu Thai sebanyak 186 kerusi sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Mei.

Sebaliknya, Pheu Thai dalam ramalan terbarunya menjangkakan ia akan menang besar dengan 270 kerusi ekoran pengingkatan popularitinya.

Abhisit berkata beliau berharap untuk mengubah populariti partinya dalam tempoh 19 hari lagi dengan menjelaskan polisi partinya kepada pengundi. - BERNAMA

Artikel Lain