suria

Akhbar Sepanyol Ramal Pilihan Raya Awal

MADRID: Media-media utama Sepanyol membuat spekulasi bahawa Parti Sosialis yang memerintah sekarang ada kemungkinan memanggil pilihan raya awal iaitu menjelang November ekoran krisis ekonomi yang semakin meruncing dan ketidakstabilan politik.

Akhbar utama seperti El Pais dan El Mundo masing-masing memetik para pegawai kanan parti pimpinan Perdana Menteri, Jose Luis Rodriguez Zapatero sebagai berkata bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk menghadapi senario terburuk dan mencadangkan pilihan raya awal.

Walaupun Zapatero berulang kali menegaskan bahawa dia tidak berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal kerana ingin memastikan langkah-langkah reformasi ekonomi yang dibentangkannya sejak tahun lepas berjalan lancar tetapi beberapa siri kegagalan parti yang diketuainya telah mendorong para pemimpin kanan parti itu untuk mendesak agar diadakan pilihan raya awal.

Pada pilihan raya kerajaan tempatan yang diadakan 22 Mei lalu, parti pembangkang utama, Parti Popular telah berjaya menguasai bandar-bandar besar dan utama di seluruh Sepanyol termasuklah Madrid dan Barcelona.

Akhbar-akhbar berhaluan kiri seperti El Pais membuat ramalan bahawa krisis politik dan ekonomi yang semakin parah tidak memberi banyak pilihan kepada parti pemerintah melainkan untuk memperolehi mandat baru daripada rakyat.

Pengangguran yang pada masa ini merupakan yang paling tinggi pada kadar 21 peratus secara tradisinya akan menurun menjelang musim panas kerana kontrak bermusim baru akan ditawarkan oleh kebanyakkan industri dan ini adalah satu bonus kepada pihak Sosialis.

Namun begitu terdapat juga pandangan yang mahu kerajaan berpegang kepada pelan asal untuk mengadakan pilihan raya pada Mac tahun depan bagi memberi peluang kepada reformasi ekonomi yang baru dilancarkannya pada penghujung tahun lepas mengambil tempatnya secara perlahan-lahan.

Sebahagian daripada penyokong Sosialis juga mahu kerajaan memberi masa kepada mereka untuk 'pulih' daripada kekalahan teruk pada Mei lalu dalam pilihan raya kerajaan tempatan.

Zapatero terpilih menjadi perdana menteri pada Mac 2004, telah pun mengisytiharkan pada April bahawa beliau tidak akan bertanding untuk penggal ketiga.

Parti pimpinannya kini hanya menguasi majoriti mudah di parlimen dan memerlukan sokongan parti-parti lain dalam apa jua resolusi yang dibentangkan di parlimen.

Timbalan Perdana Menteri, Alfredo Perez Rubalcaba, 59, dilihat sebagai calon yang akan mengantikan Zapatero dalam pilihan raya akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain