suria

Dera: Singapura Kaji Sistem Rumah Penjagaan

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura akan mengkaji secara menyeluruh pelbagai sistem dan proses yang diamalkan rumah penjagaan di negara itu, kata menterinya Gan Kim Yong.

Beliau berkata langkah itu bagi melihat jika ia boleh diperbaiki, selain mencegah kejadian dera seorang pesakit di Rumah Penjagaan Nightingale baru-baru ini daripada berulang. Gan berkata kementerian memandang serius kejadian itu dan akan mengkaji tadbir urus rumah penjagaan.

"Kementerian Kesihatan berpendapat kita perlu belajar daripada kejadian ini," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita saluran televisyen tempatan Channel NewsAsia, selepas menghadiri pameran denggi pad Sabtu.

Satu video yang memaparkan kakitangan Rumah Penjagaan Nightingale mencampakkan seorang wanita warga tua ke atas katil dan menampar mulut mangsa untuk menyuruhnya diam, membangkitkan kemarahan di kalangan kebanyakan rakyat Singapura, yang melahirkan rasa terkejut dengan layanan sedemikian terhadap pesakit di rumah penjagaan.

Sambil meminta maaf atas kejadian itu, Gan berkata kementeriannya akan mengkaji cara untuk memperbaiki sistem pengawasan atau pemantauan bagi mencegah insiden sedemikian daripada berulang.

Kementerian telah menggantung operasi rumah penjagaan itu sejak April, dan siasatan berhubung kes tersebut masih berjalan.

Gan berkata rumah penjagaan berkenaan kini diawasi dan dipantau oleh Kementerian Kesihatan. Mengenai dua kakitangan yang terlibat dalam insiden itu, beliau berkata seorang daripada mereka telah diberhentikan manakala seorang lagi diberi amaran.

Katanya, kejadian itu menjadi pengajaran kepada kementeriannya, dan memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa kebanyakan rumah penjagaan adalah selamat dengan pelbagai kaedah dalam memastikan penjagaan sempurna untuk pesakit. BERNAMA

Artikel Lain