suria

India Ambil Inisiatif Lindungi Kepupusan Dugong

CHENNAI: Para pakar biologi India sedang berusaha untuk mewujudkan perjanjian serantau bagi melindungi saki baki dugong yang masih mendiami perairan negara ini daripada ancaman kepupusan.

Mereka bimbang mamalia pemakan rumpai laut, yang juga dikenali sebagai kerbau laut itu, akan lenyap daripada perairan India apabila habitat kehidupannya rosak akibat bencana alam atau kerana tindakan manusia.

"Satu kajian menunjukkan bahawa kini hanya terdapat antara 150 hingga 200 dugong di perairan India berbanding jumlahnya yang lebih besar pada 1970-an.

"Ancaman yang berpunca daripada aktiviti penangkapan ikan, kerosakan lantai rumpai laut, perubahan iklim yang menjejaskan terumbu karang serta pencemaran laut boleh mengancam masa depan mamalia ini," kata J.K. Patterson Edward, pengarah Institut Penyelidikan Marin Suganthi yang berpejabat di Tuticorin, Tamil Nadu, kepada Bernama.

Dugong, yang berasal daripada perkataan "duyung", banyak terdapat di Teluk Mannar, Selat Palk dan Kepulauan Andaman & Nicobar -- semuanya di selatan India.

Tabung Antarabangsa bagi Kebajikan Haiwan (IFAW) menganggarkan terdapat kira-kira 100,000 dugong di seluruh dunia, dengan sebahagian besarnya mendiami perairan Australia, manakala selebihnya di perairan Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Thailand.

Seekor dugong, yang lazimnya mempunyai saiz sebesar ikan lumba-lumba, memakan kira-kira 40 kg rumpai laut sehari dan melahirkan seekor anak dalam masa tiga hingga tujuh tahun.

"Kadar kelahirannya yang rendah juga menyumbang kepada penurunan mendadak jumlah mamalia ini. Selain habitatnya, kita juga perlu melindungi rumpai laut yang menjadi sumber makanan haiwan ini," kata Patterson.

Ahli sains samudera dari seluruh dunia bimbang usaha untuk memulihara mamalia ini akan terjejas akibat perubahan iklim, pemusnahan habitatnya dan kegiatan tidak bertanggungjawab manusia di persisiran pantai.

India mengajak jirannya seperti Bangladesh dan Sri Lanka memeterai perjanjian untuk melindungi haiwan laut itu daripada kepupusan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain