suria

Penunjuk Perasaan Syria Sumpah Lakukan Lebih Banyak Protes

DAMSYIK: Aktivis pro demokrasi telah bersumpah untuk melancarkan lebih banyak lagi bantahan pada Jumaat terhadap Presiden Bashar Al-Assad yang menerima tekanan antarabangsa kerana dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Pihak pembangkang pada Khamis menerusi laman web sosial, Facebook menyeru rakyat melakukan demonstrasi baru dengan melaungkan slogan "Friday of the Tribes".

Sementara ratusan orang melarikan diri dari Jisr Al-Shughur di barat laut Syria ke sempadan Turki, selepas terdapatnya laporan bahawa konvoi tentera dan kereta kebal tiba di bandar itu.

Seorang saksi mengatakan konvoi tentera menuju ke bandar Jisr Al-Shugur dari bandar Aleppo dan seorang penunjuk perasaan dibunuh apabila dia penunjuk perasaan yang lain melontar batu ke arah konvoi tersebut.

Sekurang-kurangnya 60 pengangkut membawa kereta kebal dan kenderaan berperisai manakala sebanyak 10 lori dipenuhi anggota tentera kelihatan bergerak sepanjang lebuhraya Aleppo-Idlib.

Kumpulan hak asasi manusia mengatakan lebih daripada 1,100 orang terbunuh di seluruh negara sejak tunjuk perasaan yang bermula pada petengahan Mac itu berlaku.

Di Geneva, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay berkata pihaknya menerima banyak laporan yang mendakwa kerajaan Syria terus menerus melakukan serangan terhadap penduduk awam yang melakukan bantahan.

Pillay mengatakan aktivis-aktivis hak asasi manusia melaporkan bahawa sebanyak 10,000 orang telah ditahan oleh kerajaan Al-Assad.

Damsyik bagaimanapun tidak mengaku melanggar hak asasi manusia dalam operasinya. -AFP

Artikel Sebelum

Turki Jamin Bantu Gaddafi

Artikel Lain